MUKADIMAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melaksanakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Keenam parti itu mulai hari ini sehingga Sabtu.
Sepanjang enam tahun ditubuhkan, Bersatu sudah berjaya memainkan peranan cukup signifikan dalam arena politik negara sehingga mampu menang banyak kerusi terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Ikuti wawancara eksklusif PRESIDEN BERSATU, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN bersama wartawan, AFIQ MOHD. SHAH dan MUHAMAD IZZAT NASURUDEN serta jurugambar, ABD RAZAK AID dan juruvideo, WAN AIZZAT WAN JAILANI serta NURUL AZARIENA AHMAD ZANI.
Bekas Perdana Menteri itu merungkai pencapaian Bersatu sepanjang enam tahun dan beberapa isu semasa yang terpalit dengan parti itu sejak akhir-akhir ini.
UTUSANTV: Bersatu akan menghadapi PAT Keenam. Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan parti yang Tan Sri bersama-sama asaskan ini?
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN: YA, kita akan adakan PAT Keenam Bersatu. Ini adalah satu perkara penting yang diputuskan dalam Perlembagaan parti kita. Lebih-lebih lagi kerana untuk PAT ini kita akan mengambil kesempatan dan peluang, pertamanya untuk saya menyampaikan ucapan dasar yang akan dibahaskan (oleh perwakilan).
Ada juga usul-usul yang akan dibangkitkan termasuk isu Palestin. Ketiganya ialah untuk kita meneliti balik apa yang telah berlaku (terutama) dalam tempoh setahun yang lepas. Menilai pencapaian atau kelemahan kita. Itu biasa kita buat. Dengan tujuan akhirnya parti ini akan jadi lebih kukuh, lebih mantap, padu dan berkesan.
Tak dapat dielakkan pastinya untuk kita menilai prestasi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). PRU sebelum ini satu pencapaian besar dalam rekod Bersatu sejak tertubuh. Kita menang 31 kerusi Parlimen dan gabungan kita dengan Pas dalam PRU itu telah menetapkan kita antara parti politik terbesar yang mewakili rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Daripada rekod pencapaian Pas dapat 43 kerusi. Ini satu yang kita akan bicarakan tapi kita sudah membuat post-mortem, sudah menilai kekuatan dan kelemahan kita – di negeri mana, tempat mana.
Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru selesai juga kita akan bentang rekod pencapaian, kita menang lebih 60 peratus daripada kerusi-kerusi yang dipertandingkan.
Kita dengan Pas dan Gerakan, Gerakan menang 1 kerusi. Itu rekod juga. Bersatu menang 60 kerusi. Sebagai contoh di Selangor kita menang 22 kerusi, hampir membentuk kerajaan. Ini rekod-rekod yang sudah ada di hadapan kita yang kita akan bentang semula supaya kita bukan setakat merayakan kejayaan tapi ke depan apa yang harus kita lakukan.

Tapi penting juga ini (PAT) satu kesempatan untuk kita menilai negara kita. Situasi negara kita. Apa yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini. Apa perkara yang telah selesai dan banyak lagi tak selesai. Rasa tak puas hati dan kebimbangan. Ini saya fikir pemimpin akar umbi akan menyuarakan. Mereka datang dari seluruh pelosok negara tentu tahu apa yang dihadapi oleh rakyat di bawah. Kesusahan dan kesulitan malahan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Ekonomi tak bangkit, isu pelaburan merudum, nilai ringgit jatuh dan barang melambung naik.Tak nampak kesungguhan untuk menyelesaikan masalah ini dan saya fikir tergambar dalam perbahasan tentang isu yang dihadapi di bawah.
Seperkara lagi yang penting saya menyatakan kita nak jadikan parti kita Bersatu sebuah parti untuk dekad ke-21. Bermakna kita tak boleh hanya terikat dengan lingkungan situasi sekarang sampai dua ke tiga tahun. We want to be the party that represent Malaysia and Malay of the 21st century.
Bermakna kita mesti mengambil kira perkembangan-perkembangan teknologi, perkembangan pemikiran, knowledge (pengetahuan) dan mungkin melangkau batas kampung, daerah dan negeri sahaja, ke peringkat antarabangsa.
Isu-isu antarabangsa yang membawa kesan kepada Malaysia. Supaya rakyat akan terbuka minda mereka. Sebagai sebuah parti politik bukan sahaja nak memimpin politik (tapi) nak bangkit kesedaran. Nak tahu nasib mereka terutama orang Melayu yang makin lama makin terdesak hidup makin susah. What do we do? Jadi ini ruang yang ada walaupun terbatas untuk tiga hari sahaja tapi kesempatan ini kita akan gunakan.
Akhirnya, yang diharap lepas sahaja PAT, semangat ahli yang datang akan berkobar-kobar untuk menghadapi PRU akan datang dan kuatkan di bawah yang masih kurang. Kita tak ada kewangan dan macam-macam masalah kita hadapi tapi we have to build up rasa kesediaan dan semangat untuk terus berjuang dan berkorban.
UTUSANTV: Walaupun dianggap masih baru, namun Bersatu berjaya memainkan peranan cukup signifikan dalam politik negara sehingga mampu memang banyak kerusi dalam PRU, malah Tan Sri sendiri mencatat sejarah menjadi Perdana Menteri, apakah faktor yang memungkinkan kehadiran Bersatu diterima rakyat khususnya orang Melayu?
APA yang diperjuangkan oleh Bersatu. Walaupun kita sebut perjuangan kita adalah untuk bangsa Melayu, pribumi dan sebagainya tapi kita berjuang untuk semua. Terbukti waktu saya memimpin negara sebagai Perdana Menteri PN (Perikatan Nasional), tapi datang daripada Bersatu.
Apa yang kita lakukan? Saudara boleh melihat sendiri pencapaian kita, cara kita bekerja, menyelesaikan masalah COVID-19, bantu dapat vaksin, ekonomi negara dan bantu orang susah. Sebab itu dipanggil kita ini kerajaan prihatin sampai saya digelar ‘Abah’. Saya tak minta tapi orang panggil saya ‘Abah’.
Apa sebab? Pasal mereka melihat ini ada rasa kita buat apa yang mereka mahu. Itu bagi saya adalah amat penting. Jadi, sebab itu ke depan ini kita kena cari jalan bagaimana nak kukuhkan lagi. Saya belum berpuas hati kerana kita kena buat lebih daripada apa yang kita dah buat pada masa lepas.
UTUSANTV: Ada cakap-cakap yang menyatakan kejayaan Bersatu dalam PRU banyak bergantung kepada parti lain, contohnya dulu berjaya dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), kini Bersatu dilihat pula bergantung kepada Pas, adakah Tan Sri bersetuju dengan pandangan ini?
(BERSATU) bukan bergantung. Istilah itu tak berapa tepat. Ini strategi, hakikatnya tiada satu parti politik boleh menang dan bentuk kerajaan hanya sebab dia sahaja. Contohnya, Pas. Dia lebih lama, 72 tahun tapi tak cukup bilangan untuk bentuk kerajaan di peringkat nasional. Betul tak?
Sebab itu kita ada gabungan. Bersatu pun sama. Kalau setakat Bersatu, bentuk sebuah dua negeri boleh tapi kalau nak bentuk kerajaan Persekutuan mesti ada gabungan. It is a coalition of parties.
Jadi pencapaian Bersatu atau pun Pas dalam konteks Perikatan Nasional itu adalah kerana satu ideologi kita – apa yang kita perjuangkan. Prinsip perjuangan kita, mendukung Perlembagaan kita. Lepas itu keprihatinan kita. Apa-apa yang kita dah buat dan terbukti 17 bulan saya memimpin negara orang dah lihat itu sebagai satu contoh bahawa party that can be trusted. Sebuah parti politik yang boleh dipercayai. Pasal kita tak berbohong, kita bertindak secara ikhlas dan berjuang atas dasar perjuangan itu.
Tak betul (Bersatu bergantung). Pas juga mengakui dalam perbincangan kita mengatakan kalau tak kerana gabungan kedua-dua parti to a lesser extent, Gerakan, majoriti mereka tak melonjak naik sebesar itu.
Tanyalah kawan-kawan kita dalam Pas. Betul dulu dia dapat 10,000 (majoriti), sekarang dia dapat 40,000. Datang daripada mana? Kalau kata setakat ahli Pas semua dah ada di situ tapi kerana ramai Melayu belum jadi ahli parti politik kerana melihat PN dan Bersatu dan saya ada di situ, maka mereka rasa agak lebih yakin.
Itu sebabnya, jadi tak boleh kata kami (Bersatu) bergantung kepada Pas atau Pas kata dia bergantung kepada Bersatu. We work together. Saling menolong antara satu sama lain. Itu tujuan coalition. Tak boleh kata buat sendiri sahaja. Kalau Pas bertanding, Pas sahaja. Bersatu bertanding maka Bersatu sahaja. We work together. Itu tujuannya.
Tak berapa tepat kita bergantung. Kita saling bergantung itu lebih tepat.

MASA DEPAN BERSATU, PERALIHAN KEPEMIMPINAN, HUBUNGAN DENGAN HAMZAH
UTUSANTV: Ramai berpendapat Bersatu adalah Tan Sri, Tan Sri adalah Bersatu. Dan kata mereka, kalau Tan Sri bersara atau tidak lagi bersama Bersatu maka parti ini akan berkubur. Apa komen Tan Sri?
SAYA tak fikir Bersatu akan terkubur. Hasrat saya Bersatu akan terus kekal untuk selama-lamanya. Ya, buat sementara ini saya menerajui sebagai Presiden dan Pengerusi Perikatan Nasional. Sementara ini. Ia tugas yang saya jalankan.
Daripada awal ditubuhkan pun saya penajanya. Saya pengasas. Jadi macam susah nak pisahkan. Tapi parti kita ini akan hidup berkembang. Saya berharap untuk ratusan tahun akan datang. Waktu saya dah tak ada, anda semua tak ada pun. Bersatu masih ada.
At any time, Malaysia akan kekal abadi. Tapi siapa akan menerajui negara, parti mana yang akan memperjuangkan nasib bangsa? Itu ke depan. Maksud saya tadi kita kena bina daya kepimpinan yang lestari.
Sekarang zaman saya tapi saya tak lama lagi. Usia sudah 76 tahun walaupun masih handsome lagi. Tapi maksud ke depan itu mesti ada barisan pelapis.
Saya yakin dalam Bersatu ramai belum lagi dapat menonjol tapi sudah ada. Ambil kira dalam Bersatu sedia ada. Takkan saya seorang sahaja. Dalam barisan kepimpinan, pasal mereka tak diberi peluang. Cuba selepas ini diberi peluang jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau menteri, mesti mampu.
Dalam kita punya Armada banyak profesional. Peguam dan doktor pun ada. Dalam Srikandi dan Srikandi Muda. Saya jumpa mereka beritahu ada barisan pimpinan penaja yang baru kita nak bentuk ada doktor, peguam ramai. Bukan maknanya yang tiada qualification itu tak penting tapi kepimpinan masa depan mesti ada ilmu, kepakaran, kemahiran dan dah berpengalaman menerusi satu proses.
Harapan saya walaupun seketika ini saya masih di sini. Saya tak akan kekal abadi di sini. Entah berapa lama lagi mungkin saya akan mengundur diri. Orang lain akan mengambil alih dan selepas itu ada lagi barisan kepimpinan baharu.
Itu yang kita harap ia akan berkekalan untuk satu jangka masa yang panjang.
UTUSANTV: Pemilihan Bersatu telah ditangguhkan selama 18 bulan dan dijangka diadakan tahun hadapan, apakah pendirian Tan Sri? Adakah Tan Sri akan pertahankan jawatan Presiden kerana baru-baru ini ada laporan mengatakan Tan Sri mungkin akan berundur dan menjadi penasihat parti?
ITU amalan demokrasi dalam parti. Kita tangguhkan 18 bulan sebab ada pilihan raya. Kita akan tetapkan nanti tarikhnya bila akan diadakan pemilihan parti.
Soal yang berbangkit, kerana itu adalah amalan demokrasi, siapa sahaja boleh bertanding apa sahaja jawatan ikut peraturan dalam parti. Tak ada sekatan, tak ada halangan. Sama ada saya bertanding lagi ke tidak, nanti kita fikir. Kita fikir sama-sama. Mungkin dah sampai masa (nanti) dan ada orang ambil alih… jangan berebut-rebut dan bergaduh. Kita berpakat sesama sendiri.
Kalau ikut tokoh kepimpinan yang ada itu, barisannya tak ramai. Panggil duduk datang ke rumah saya, makan-makan. Okay kalau saya nak bersara, bila masa (tiba) – I think you take first, after you will be the other. Itu contoh. Kalau boleh bincang lebih baik. Kalau ada pun pemilihan tapi tak menimbulkan perbalahan kerana kesannya perpecahan. Itu kita tak mahu lihat. Kalau berpecah, akan berpecah sampai bila-bila. Ada Team A, Team B, Team C ini.
Saya tak berapa berkenan begitu kerana kita semua sama tapi kena bentuk persefahaman dan kerjasama. Bersedia untuk saling tolak ansur dan sebagainya. Itu yang kita harap berlaku.
UTUSANTV: Baru-baru ini terdapat dakwaan Tan Sri mempunyai hubungan dingin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan cerita itu berlarutan ditambah pula dengan isu peralihan sokongan, apa komen Tan Sri?
DATUK Seri Hamzah dengan saya tak ada masalah. Datuk Seri Hamzah adalah Setiausaha Agung yang dilantik oleh Presiden. Kadang orang lupa. Maknanya kalau Presiden lantik, dia duduk situ (Setiausaha Agung). Kalau tak lantik, dia tak duduk situ.
Bukan saya nak buat apa-apa pun. Itu maksud saya tadi. Ini cerita-cerita oleh mereka yang sengaja nak buat cerita supaya timbul keadaan ketidaktentuan.
Tapi bagi saya, tak ada masalah. Kita bekerjasama baik. Semalam pun dia (Hamzah) datang jumpa saya bincang macam-macam. Kami bersemuka berdua dan ada juga beramai-ramai. Bincang sama-sama. Pasal ada perasaan saling hormat kerana Datuk Seri Hamzah perlukan panduan daripada saya. Dia tak boleh memandai-mandai dalam erti kata makna (sebab) beliau Setiausaha Agung.
Kalau saya lantik you pun boleh jadi Setiausaha Agung. Bukan saya nak perkecilkan dia. Dingin kata setengah orang, orang lain kata hangat. Tak ada masalah. Ini semua kenyataan politik.

UTUSANTV: Datuk Seri Hamzah juga disebut sebagai pencabar utama jawatan Presiden sekiranya Tan Sri berundur, apa komen Tan Sri?
ITU harapan sesetengah pihak tapi setakat ini saya tak nampak lagi pun kerana masa untuk pemilihan belum tiba. Sebab itu saya bincang tadi, kita boleh cari jalan bagaimana kita nak menyusun lapis masa ke depan.
Itu tidak bertentangan dengan sistem demokrasi dalam parti. Asalkan akhirnya kebaikan, macam mana kita boleh buat? Boleh. Saya fikir saya berupaya sebagai tokoh dan pengasas untuk cari jalan. Okay if i go tomorrow, i think you take over. Contoh macam itu. Tapi kalau tidak pun, dia nak bertanding maka bertandinglah. Kalau saya tak bertanding, siapa nak merebut jawatan, boleh rebut.
Siapa menang, kalah biasalah adat dalam pertandingan. That is sikap saya.
TINDAKAN EMPAT AHLI PARLIMEN SOKONG ANWAR
UTUSANTV: Apa perasaan Tan Sri apabila empat ahli Parlimen Bersatu umum beri sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tan Sri menyatakan keempat-empat mereka diugut dan disogok tetapi mereka menafikannya, apa komen Tan Sri?
SAYA tak gemar perkara itu berlaku. Tak endorse malahan tindakan mereka itu bertentangan dengan dasar parti. Mana boleh kata saya sokong Datuk Seri Anwar tetapi masih sokong parti. Orang kata biasanya kesetiaan tidak berbelah bahagi. Ini dah berbelah bahagi.
Maknanya tak setialah tu. Tapi tak apa kita ada cara menguruskan hal dan isu seperti itu yang kita telah buat. Dia kata dia tak ada peruntukan dan susah. Takkan dia seorang sahaja? Kita ada berpuluh ahli Parlimen termasuk dari Pas. Tak ada pula buat macam itu. Apa sebab? Saya fikir ada sebab tertentu yang dah disebutkan.
Ramai datang jumpa saya kata: “Semalam mereka datang jumpa saya, Tan Sri. Saya ada ambil gambar. Kata kalau nak boleh bantu. Yang berhormat bercakap di Parlimen tak ada itu, tak ada ini”. Jumpalah mereka. Nak bina hotel, ini cara atau modus operandi untuk memperdaya dan mempengaruhi, bergantung anda lihat dalam konteks apa.
Jadi bermakna bila ada kenyataan mereka ini ada yang diugut, kalau tak ikut maka akan diheret ke muka pengadilan.
Bila kita buat kenyataan semasa kes pertama itu. Kita sebutkan tarikh. Ada seorang usahawan Cina bergelar Tan Sri itu bukan bohong. Ada tapi kita dah serahkan kepada polis maka biar polis siasat. Cuma kita tak condone hal sebegitu. Mencemarkan nama baik parti kerana mereka menang atas tiket Perikatan Nasional.
Majoriti Melayu sokong jadi kenapa buat hal begitu? Maka kita terpaksa hadapkan mereka ke Lembaga Disiplin dan jatuhkan hukuman. Semoga perkara ini tak akan berterusan berlaku.
UTUSANTV: Ada dakwaan bahawa salah seorang ahli Parlimen yang beralih sokongan itu menjadi dalang utama kerana didakwa dijanjikan jawatan. Adakah Tan Sri mengetahui perkara ini?
SAYA tak dengar. Kalau ada orang lain dengar tak tahu ya atau tidak. Mungkin ya, mungkin tidak. Saya tak tahu.
Itu maknanya ada benda-benda yang berlaku di sebalik zahirnya adalah kerana nak dapatkan peruntukan. Tanya balik kenapa mereka sasarkan kepada Bersatu? Bersatu has the force. Bersatu lead in that sense. Kekuatannya kerana kita ada sokongan ahli Parlimen.
Mereka tahu potensi Bersatu dalam konteks PN bersama Pas sebagai contoh. Menjadi yang berhadapan dengan mereka di sebelah sana. We are contender for what ever it is. Mereka melihat kita sebagai ancaman. Oleh sebab itu cari jalan nak pecah belahkan. Kita faham itu dan kita terima itu hakikat.
Cuma bagaimana kita nak manage? Kita sudah mula manage keadaan itu.
UTUSANTV: Apakah langkah yang dilakukan Bersatu bagi mengelak lebih ramai Ahli Parlimen beralih sokongan?
KITA dah ambil langkah, tidak perlu kita umumkan. Kita harap mereka yang lain, berbaki itu tidak mengambil tindakan yang sama. Satu, kita dah jumpa dua tiga kali menjelaskan ini perbuatan tidak baik.
Sebenarnya, saya jelaskan, tindakan itu membunuh diri sendiri. Kalau dia bercita-cita untuk menjadi orang politik, politik ini akan mati dekat situ sahaja. Pasal bukan saya tidak suka, penyokong dekat bawah pun akan marah. Kenapa kau buat begitu? Kita sokong awak kerana awak ini adalah Bersatu, PN, nak sokong Melayu. Habis buat macam ini. Saya tidak suka Anwar Ibrahim. Awak macam itu kenapa? Dia akan menghadapi masalah seperti ini.
Saya fikir, masalah ini akan dihadapi. Bukan saja mereka bertindak di luar Perlembagaan dan dasar parti, dan tentunya tidak elok bagi mereka sendiri, tetapi rakyat di bawah akan menilai. Kami tidak apa, kami tahu YB pembangkang, kami tahu YB tidak ada peruntukan.
Saya dah beritahu kepada mereka, tidak semestinya peruntukan itu datang daripada kerajaan. Waktu saya jadi PM (Perdana Menteri), saya bagi kepada semua tanpa syarat. Ambil lah. DAP ke, PKR ke, bagi semua sekali. Semua dapat. Sebab zaman susah dan kita nak bantu.

Sekarang pun patut buat begitu. Tapi tidak, ia bersyarat. Kena datang macam nak sujud kat bawah. Kena syarat bermacam-macam. Bagi saja, bukan beratus juta pun. Itu caranya.
Apa maknanya? Sikap yang tidak prihatin terhadap masalah, bantulah sedikit. Tetapi saya tidak kata yang itulah faktor yang sewajarnya ahli Parlimen kita bertindak sedemikian. Itu tidak betul.
Sebab ramai lagi yang tidak buat begitu. Kenapa dia buat? Bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi ADUN. Kenapa tidak buat? Banyak ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) daripada Bersatu yang bukan negeri kerajaan, tetapi negeri pembangkang. Macam Ahli Parlimen Gua Musang, itu negeri kerajaan Perikatan.
Kenapa dia begitu? Dia pula ADUN. ADUN dapat peruntukan RM250,000 buat projek RM1-2 juta, apa jadi masalah? Mungkin sebab ada lain. Wallahualam. Tetapi nak beritahu kita dah uruskan. Saya tidak boleh ramal apa yang akan berlaku tetapi setakat ini kita sudah menguruskan hal seperti itu supaya ia tidak lagi akan berulang.
UTUSANTV: Adakah Tan Sri yakin tiada lagi ahli Parlimen yang akan bertindak sedemikian?
SAYA harap begitulah. Tetapi kalau ada seorang dua bangun pagi, entah termimpi apa-apa, saya harap ia adalah pengajaran yang perit bagi kita tetapi kita ambil iktibar. Tapi kita kena uruslah.
SETAHUN KERAJAAN MADANI
UTUSANTV: Setahun penubuhan Kerajaan MADANI. Sebagai bekas Perdana Menteri dan Pengerusi PN, bagaimana Tan Sri melihat prestasi kerajaan?
TIDAK boleh dibanggakan. Dulu saya pernah kata hopeless (tidak boleh diharap). Kalau ada pun, tak nampak. Sebab isu pokok itu tidak ditangani. Apa isu pokok? Rakyat. Tanya lah mereka terkesan tak dengan keadaan sekarang ini.
Ya, susah. Zaman susah. Tapi tidak sesusah zaman COVID-19. Zaman COVID-19, tengah susah pun kita bantu. Kita tolong beri bantuan Prihatin. Kita adakan KWSP. Bantuan moritorium dan lain-lain lagi. Sekarang tidak ada. Zaman tidak ada COVID-19 lagi, ada sedikit saja.
Sewajarnya lebih mudah untuk menguruskan negara. Saya ada pengalaman, bukan sekadar PM, saya ada banyak pengalaman banyak kementerian yang saya pimpin. Timbalan Perdana Menteri. Saya tahu lebih banyak daripada Anwar Ibrahim. Jadi kena tahu masalah.
Orang bertanya apa yang dibuat sekarang? Kenapa masalah rakyat tidak diselesaikan. Kalau tidak selesai pun, cuba bantu, kurangkan beban rakyat. Pokok dalam banyak isu yang saya kaji dan teliti dalam survey yang kita buat, apa perkara pokok yang dihadapi rakyat? Kos sara hidup. Its a bread and butter issues. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, key issue.
Apa jadi? Tidak nampak langkah-langkah berkesan yang dilihat meringankan beban rakyat? Nak selesai mungkin tidak boleh tetapi nak meringankan beban rakyat. Saya tanya you, bagi contoh satu? Saya cakap ini bukan sebab saya pembangkang, kalau bukan pembangkang pun saya ini profesional, jawapannya macam tidak ada kerajaan.
Ada Perdana Menteri tetapi pusing serata dunia. Masalah tempatan tidak selesai, hendak melantik jawatan menteri yang kosong kerana meninggalnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, kawan saya. Tidak terisi sampai sekarang. Lantik orang lain jadi pemangku. Why can u just fill the post? Pasal apa? Itu adalah kementerian yang penting yang sekarang ini menghadapi masalah.
Bekalan beras tidak ada, dalam sejarah negara tidak pernah timbul masalah beras tidak ada. Sekarang menghadapi masalah. Ada beras import, rakyat tidak mahu makan beras import, mahal, RM45. Semalam saya pergi ke pasar raya berhampiran rumah saya. Siapa yang hendak beli? Yang biasa RM27-RM28, tidak mampu. Ayam harga melambung. Dia kata akan distabilkan.

Lepas itu cerita soal hendak kurangkan subsidi, saya tidak kata saya tidak setuju kurangkan subsidi, pasal subsidi yang dibayar sekarang ini ramai yang dapat orang-orang kaya. Okay, nak rasionalisasi. Di Parlimen tidak pula dijelaskan bagaimana hendak rasionalisasi. Tidak mudah.
Bila nak mula? Tahun depan. Eh, tak bincang lagi (nak mula) tahun depan. Dah la susah. Kalau subsidi tidak ada dalam keadaan yang susah ini, terbeban lagi (rakyat). Naik lagi 6 peratus ke 8 peratus SST. Yang tidak ada SST pun kena 8 peratus SST. Logistik kena bayar. Jadi semua kos akan meningkat, melambung lagi.
Yang itu kerajaan boleh buat mudah tapi nak selesaikan masalah rakyat kerajaan tidak buat. Saya cakap ini secara ikhlas, bukan saya hendak mengutuk. Orang datang berjumpa dengan saya. Saya baru balik kampung semalam. Semua cerita benda sama, menanggung beban, hidup susah, duit tak banyak, gaji kita tidak besar, nak pergi ke sana ke sini pun tidak ada duit.
Minyak kata nak turun, tidak turun-turun. Ini apa dia? Cakap bohong, janji tidak ditunai. It is not an indication of good government. Apa lagi kalau isu nasional, soal eksport. Merosot. Nilai pelaburan, merosot. Ringgit, merosot. Ini indikasi bahawa kita tidak menguruskan ekonomi dengan baik.
Yang saya lagi takut tahun depan lagi teruk. Kalau kita nak andaikan, ada la juga laporan antarabangsa yang mengatakan tahun depan sudah mula recession. Global recession (kemelesetan ekonomi dunia). Kita dah tahu begitu, what are we doing now? To mitigate atau nak mengurangkan kesan daripada recession itu tadi.
Itu isu besar. Kalau saya, kena ada satu Jawatankuasa Kabinet, duduk bincang macam mana nak uruskan, tengok setiap sektor, oh begitu sekali. Ada dengar Perdana Menteri cakap seperti ini? Keluar kenyataan cakap apa? Cakap macam-macam. Di Parlimen cakap, dia tuduh saya bagi RM500 juta untuk mempromosi diri saya. Nampak tak muka saya terpampang masa zaman Covid-19. Orang sakit di hospital, saya pergi ke hospital, ada tak naik apa-apa poster? Dia kata saya belanja. Pembohongan! And its spoke in Parliament.
Saya dah nafikan, tak ada. Bila tanya menteri yang menjawab, saya belanja RM180,000 sahaja. Mail (Ismail Sabri) RM60 juta, dia belanja dekat RM400 juta lebih, pastu dia kata dia belanja RM7.4 juta lagi. Macam mana boleh tuduh saya. Walapun kau tak suka aku, jangan berbohong. Saya bukan manusia seperti ini.
Saya tidak pernah dilihat, bukan emosi ini, just explain the whole thing. But the facts its not about me, apa soal yang dihadapi oleh rakyat. Apa yang dia dah buat. Satu saja saya tanya. Oh ini Tan Sri, kerajaan MADANI dah bagi pencen RM1,000. Memang bagus tapi kalau nak dinilaikan di situ dengan masalah kos naik, kurangkan sedikit tapi tidak selesai masalah.
Nak kurangkan subsidi, habis apa jadi? Maknanya tidak ada subsidi. Okay. Kalau tidak ada subsidi macam mana nak tentukan supaya rakyat di bawah itu tidak terkesan dengan kenaikan? Tidak ada jawapan. Ini key (kunci). Ini isu pokok.
Kalau ini pun kerajaan madanon tidak boleh selesai, saya tidak tahu lah pasal lain. Tetapi soal antarabangsa lain, dasar luar sudah agak berubah sedikit. Soal isu Palestin pun nak angkat bendera pun tidak boleh. Ada isu dicabar di Mahkamah Syariah, saya boleh bercakap bermacam-macam. Yang menjadi kebimbangan, dan satu lagi kemungkinan persempadanan semula yang akan dibuat.
Siapa yang nak buat, macam mana ia akan berlaku, kemungkinan, mungkin kawasan-kawasan yang akan dipinda ialah menambahkan kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu. Siapa mendapat faedah? di mana Melayu pada masa hadapan? Ini persoalan-persoalan yang mesti dijawab. Nampak saja Anwar kat situ dia seorang Melayu Islam, boleh tak dia pertahankan hak orang Melayu supaya Melayu tidak akan hilang kuasa? Ini isu besar kan.

UTUSANTV: Dengan apa yang Tan Sri perkatakan, adakah Tan Sri merasakan sepanjang setahun ini Anwar lebih dilihat mahu menonjol di mata dunia?
YA betul. Yang itu rakyat mula fikir. Dia balik sekejap lepas tu terbang balik. Bukan saya kata tak boleh. Kalau saya lah duduk dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah macam zaman COVID-19. Saya terbang tak? Tidak terbang. Saya pergi Indonesia, saya pergi Brunei, Singapore jumpa dekat sempadan.
Kalau saya nak terbang, saya boleh terbang, tetapi saya tidak pergi pasal zaman tengah susah. Patutnya you Perdana Menteri, hantar wakillah pergi APEC. I want to sit and settle the problem the rakyat is facing now. Kenapa dia tidak buat? Nak jadi glamor supaya diiktiraf sebagai tokoh dunia.
Apa makna tokoh dunia gagal dalam negara sendiri. Siapa yang menilai dia? Berjaya tidak berjaya bukan orang AS, bukan Presiden AS, Presiden China tetapi rakyat Malaysia. Lima tahun sekali you akan hadap balik. Tengoklah lima tahun ke hadapan. Orang sokong atau tidak sokong.
PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN BERSATU
UTUSANTV: Adakah isu melibatkan empat ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan akan dibincangkan secara terbuka?
ISU empat ahli Parlimen alih sokongan tidak akan menjadi fokus. Minta maaflah. You memang ingat semua. It is not something that so much critical indication seolah-olah Bersatu akan runtuh atau hancur. Saya nak beritahu yang kita akan kukuh kedudukan kita, ini pengajaran bagi kita dan ramai lagi ADUN dan ahli Parlimen ada bersama kita.
Ramai ketua-ketua parti kita yang bekerja kuat dari bawah, kita bekerjasama dengan Pas. Jadi bermakna ia tidak akan jadi fokus utama. Akan disentuh, biasa, saya pun mungkin akan sebut dan menjelaskan apa yang telah berlaku tetapi bukan jadi membuangkan masa selama dua hari berbincang soal fokus ini seolah-olah itulah hidup mati kita di situ. Tidak ada lah. Ada andaian bahawa Bersatu akan lebur dan hancur but saya doa tidak begitu dan saya akan ia tidak akan begitu.
UTUSANTV: Menjelang PRU-16 nanti, Tan Sri yakin Bersatu akan terus kukuh?
YA. Dont underestimated the force that coming in because of Bersatu kombinasi dengan Pas, Gerakan dan ia gabungan yang kukuh. Kita tahu di mana kekuatan. Hari itu kita sudah dapat 80 peratus sokongan. Itu hari pergi mengundi you pangkah saya. Saya tahu tengok muka saya dah tahu.
Keduanya kita tahu ada kelemahannya dengan kawasan-kawasan yang majoriti bukan pengundi Melayu. Chinese pun, Indian pun, ini agak masih belum begitu besar. Ada sebab-sebab tertentu, mungkin juga tidak berapa faham apa perjuangan PN. Ataupun mereka fikir oh ada Pas atau Bersatu. Itu kita faham.
Dan kita dalam parti kita cuba nak manage benda itu supaya akhirnya orang boleh menerima bahawa this party does not fight for the course of Malay sahaja. Kita berjuang untuk nasib semua kaum. Dan kita buktikan pada zaman COVID-19, kita bagi pada semua orang, Cina ke Melayu ke. Terbukti begitu.
Jadi melihat pada keadaan itu, ke hadapan untuk beberapa tahun ke depan kita buat persiapan-persiapan, kita dah tahu dah kawasan-kawasan yang kita bertanding, yang menang kita pertahankan, yang kita kalah tipis. Macam Selangor kita kalah tipis, 13,000 undi daripada tujuh kawasan yang kita kalah itu, kalau campur semua sekali, majoriti mereka dapat 13,000.
So kita dah analisa. Boleh tak itu, Datuk Seri Azmin buat kat sana, jangan underestimate, itu satu lagi, dan yang lain-lain pun kita buat begitu.
Kita tertekan dengan masalah parti kita kerana kita disekat sumber kewangan kita tidak boleh pakai, akaun kita tidak boleh diaudit, tidak boleh guna wang yang ada berbaki. Orang nak bagi sumbangan pun takut. Benda-benda masalah ini kita kena manage. Kita akan insya-Allah akan kekal untuk satu tempoh yang panjang.

UTUSANTV: Hubungan Bersatu dengan Pas bagaimana?
DIA begini, Pas pun faham dan kami pun faham. Faktanya adalah tidak ada mungkin satu parti politik boleh tubuhkan kerajaan pusat. Pernah berlaku tak satu parti even during BN time, UMNO boleh tubuh kerajaan sendiri. Dia terpaksa gabung.
Sebab itu hakikat situasi politik dalam Malaysia pelbagai kaum. Sebab itu kita kena gabung, sebab itu terbukti bila kita bergabung, bersatu kita kuat, kita kukuh. Jadi kalau katalah saya buat keputusan, saya fikir nak buat sendiri saja, pergi lah sendiri, tak ke mana pun. Pas pun kalau buat keputusan, minta maaf, dia nak pergi sendiri, boleh ke dapat 40 kerusi macam sekarang. Boleh pergi ke mana? Yang lain itu join je lah tak apa.
Sebab itu atas dasar itu, hubungan Pas dengan Bersatu ini abadi. Saya ada beritahu Tok Guru Haji Hadi satu hari berjumpa di rumah dia, satu saja permohonan saya, dan dia akur bahawa kita, Bersatu dan Pas ini hubungan kita mesti abadi. Pasal kita akui kalau kita tak buat begitu, kita tak sampai ke mana.
Hajat dan niat kita nak bina sebuah kerajaan yang baik tidak akan terjadi. Pas akui dan kita pun akui. So we work together. Adalah isu hubungan antara parti itu memang ada, tapi tidak lah membesar sampai nak berpecah belah itu, tidak ada, pasal mereka akui dan saya pun akui if we go together, we want to go with our own our way, we cant go anywhere. Ya boleh dapat satu dua negeri tapi tak boleh bentuk kerajaan pusat. Malahan kita akan bersikap lebih terbuka kalau lain pihak nak join, sehaluan, ideologi yang sama, we can work together as gabungan.
UTUSANTV: Itu di peringkat kepimpinan, di akar umbi pula bagaimana?
SUDAH makin mesra pasal baru maklumlah kan, jadi tidak berapa kenal. Sekarang ini bila buat majlis, Bersatu buat, Pas panggil, yang ini dibina dalam tempoh masa ke depan ini akan terbina yang mana akan lebih mesra saling bantu-membantu. Tetapi perlu masa. Setahun dua ini agak kelompongan yang perlu diisi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

