SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan sebanyak 41 akaun bank Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15.87 juta.
Ia susulan dakwaan ketidakaturan dalam aktiviti pengumpulan derma oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut untuk rakyat Palestin.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting berhubung kes tersebut.
Menurut SPRM, hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.
“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: SPRM: Siasatan Aman Palestin masih berjalan
Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.
Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut.
Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri itu menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di Perlis bermula 12 Okt lalu sehingga siasatan selesai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan pegawai forensiknya sedang meneliti dokumen (kewangan) yang diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

