Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang maut digilis LRT di Stesen Dato' Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi GAMBAR: Bomba

SEORANG lelaki yang maut digilis aliran transit ringan (LRT) di Stesen Dato’ Keramat, malam tadi dipercayai melompat terjun ke arah landasan sendiri.

Video penuh klik link di ⬇️

https://t.me/infoutusantv/2068

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan daripada anggota polis bantuan pada pukul 10.56 malam.

Menurut Ashari, sepasukan polis mendapati lelaki berkenaan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

Bagaimanapun, kata beliau, mangsa tiba-tiba melompat terjun dan kemudiannya berbaring di atas landasan sewaktu tren tersebut hendak berhenti.

“Kemudian tren tersebut yang tidak sempat berhenti terus melanggar mangsa yang berada di bawah tren berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan pada pukul 11.13 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari memaklumkan mayat mangsa telah dibawa ke hospital bagi tujuan post morterm.

Baca artikel lain: Lelaki terjatuh landasan LRT maut

Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki terjatuh di landasan LRT dan digilis tren dalam keadian di Stesen LRT Putra Dato Keramat, malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kenyataan berkata, JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 27 tahun pada pukul 9.10 malam.

Menurut Komander Operasi, PBK II Mohd Fabell Md Yasin anggota Bomba daripada BBP Keramat bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan.

“Kejadian tersebut melibatkan seorang lelaki yang telah terjatuh di landasan LRT dan digilis pada bahagian kedua belah kaki.

“Mangsa dilaporkan masih berada dalam keadaan sedarkan diri. Kerja-kerja menyelamat giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa daripada landasan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram