PARTI-parti politik dalam negara dinasihatkan supaya mengendurkan permainan sentimen dengan menampilkan cara politik ilmu dan lebih matang bagi mengelakkan dilihat ‘menunggang’ agama.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selagi sesebuah parti politik atau pemimpin itu melakukan perkara yang betul, maka sebagai orang Islam boleh menerimanya walaupun bukan berada dalam parti yang ‘berlabelkan’ Islam.
Dalam soal ‘menunggang’ agama, Zulkifli berkata, sekiranya sesebuah parti politik atau pemimpin menggunakannya demi kepentingan peribadi, perkara itu sememangnya salah.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika penggunaan agama bagi menegakkan Islam, ia dibenarkan.
“Sentimen cuba kendurkan tapi kita datang (tampilkan) dari segi politik ilmu, politik matang dan politik berhujah.
“(Kalau) dia betul kita terima. Kita tengok mana yang betul. Kita kena terima tiada masalah. Cuma dari segi wadah, mereka masuk dan selesa, itu tak boleh buat apa kerana ini demokrasi.
“Kalau gunakan agama untuk agama seperti para sahabat, tabiin dan pejuang Islam yang benar-benar ikhlas zaman dulu, bagi saya tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap dikendalikan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang dimuat naik hari ini.
Baca artikel lain: Setahun Kerajaan Madani, banyak persembahan kurang prestasi – Khairy
Mengulas lanjut, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut menyifatkan terdapat banyak parti politik yang menampilkan prestasi baik walaupun tidak menggunakan nama agama.
“Sejujurnya banyak parti dan pemerintah yang baik-baik di luar, walaupun bukan nama agama. Sepatutnya kita ucap terima kasih.
“Itu betul tetapi bukan semestinya yang menggunakan agama itu mesti betul 100 peratus. Itu juga mesti kita terima. Kita kena tengok bagaimana sepatutnya kita nilaikan cara Islam yang sebenar,” katanya.
Berhubung ayat al-Quran iaitu ayat 59 surah an-Nisa yang sering digunakan ahli politik bagi menggambarkan ketaatan kepada pemimpin, Zulkifli menegaskan, ketaatan kepada pemerintah itu terbatas selagi tidak kepada perkara yang menderhaka kepada Allah.
“Bila disebut ketaatan kepada Allah dan rasul, itu mutlak tetapi kepada pemerintah terbatas dan terhenti berdasarkan hadis iaitu melibatkan perkara derhaka kepada tuhan.
“Daripada situ menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga ada hak iaitu kena lihat betul atau tidak.
“Sebab itu khalifah zaman terdahulu suka apabila ada orang yang memperbetulkan dan dia akan terima nasihat. Kalau ktia faham setakat itu, maknanya insya-Allah baik,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

