Jangan jadikan RUU Mufti tumpuan persengketaan sesama Islam – Zulkifli Al-Bakri

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEMUA pihak diseru untuk tidak menjadikan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 sebagai tumpuan perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, RUU Mufti tersebut merupakan usaha amat panjang iaitu sekitar tahun 2013 lagi semasa Datuk Wan Zahidi Wan Teh bergelar Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, kajian berhubung perkara tersebut telah berterusan semasa beliau menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan selama lebih tujuh tahun sebelum disambut oleh Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah mulai Mac 2020.

Jelasnya, walaupun melalui tiga zaman berbeza, namun roh perjuangan RUU tersebut tetap sama iaitu untuk memartabatkan dan memperkasa institusi kefatwaan di Wilayah-Wilayah Persekutuan ke tahap lebih tinggi.

Malah, Zulkifli berkata, ia juga selari dengan hasrat Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus hal ehwal agama Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan berada di kedudukan terhormat.

Menurut Zulkifli, sokongan kepada RUU Mufti itu bukanlah semata-mata kerana melihat pihak lain turut menyokong atau ingin berbeza dengan mereka yang dilihat tidak menyokong.

Kata beliau, ia merupakan tanggungjawab untuk memastikan hasrat Majlis Raja-Raja dapat direalisasikan sebaiknya dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Sebagai bekas Mufti Wilayah Persekutuan ketujuh dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang pertama dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan daripada ahli politik, saya merasakan wajar untuk umat Islam terutama golongan agamawan, ahli politik dan masyarakat awam memahami dengan jelas tujuan sokongan yang dizahirkan.

“Memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu hal yang utama, namun ada di sana beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya bagi memastikan institusi kefatwaan di Wilayah-Wilayah Persekutuan mempunyai wibawa tersendiri tanpa boleh dipengaruhi mana-mana pihak.

“Saya sentiasa bersama dengan mereka yang ikhlas, ingin mengangkat martabat institusi kefatwaan di Wilayah-Wilayah Persekutuan ke mercu kecemerlangan.

“Wilayah Persekutuan adalah imej Malaysia, dan rujukan pertama dunia apabila membicarakan tentang Malaysia dari sudut pendirian dalam Hukum Syarak. Maka, sewajarnya institusi kefatwaannya bertaraf global dan pendekatannya bukan lagi hanya “bermain” di gelanggang tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Bekas Mufti P. Pinang, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia penerima Tokoh Maal Hijrah

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khususnya ahli-ahli Parlimen beragama Islam sebelum menyokong atau mencadangkan penambahbaikan kepada RUU Mufti tersebut.

Katanya, Mufti Wilayah Persekutuan perlu diberikan kuasa penuh untuk mengeluarkan pandangan hukum dan fatwa tanpa terikat dengan persetujuan mana-mana pihak.

Zulkifli menjelaskan, ia bermaksud Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Muzakarah yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) boleh menyampaikan cadangan dan buah fikiran tetapi Mufti Wilayah Persekutuan tidak terikat untuk menerimanya.

Dalam hal pandangan atau pendapat hukum oleh Mufti Wilayah Persekutuan kepada mahkamah, Zulkifli bersetuju sekiranya ada usul untuk memastikan pendapat hukum itu bersifat mengikat dengan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara.

“Seksyen terkait Mufti dan Timbalan Mufti perlu diasingkan sama ada dari sudut kriteria mahu pun fungsi kerana kedua-duanya mempunyai bidang tugas yang berbeza.

“Menjadi kelaziman, Timbalan Mufti lebih menumpukan kepada isu pentadbiran. Maka, sewajarnya kriteria pelantikan Timbalan Mufti perlu diperincikan antaranya individu yang mempunyai latar belakang pengurusan dan pentadbiran di samping berkelayakan dari sudut hukum syarak.

“Menjadi satu kelebihan bagi calon Mufti Wilayah Persekutuan jika mempunyai pengalaman dalam institusi kefatwaan, mempunyai sijl kelayakan bertaraf Doktor Falsafah dalam bidang Syariah, dan diiktiraf badan-badan fatwa di luar negara.

“Sesuai dengan kedudukan Mufti Wilayah Persekutuan dalam Akta 505 Seksyen 33 Kuasa Mufti yang membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, amat wajar sekali gred yang disandang adalah Jusa A atau TURUS (I, II, atau III),” jelasnya.

Pada 2 Julai lepas, Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

KESUMA sokong penuh siasatan SPRM program Daya Kerjaya 2.0

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) menyokong sepenuhnya siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ketidakaturan melibatkan tuntutan...

More Articles Like This