SIASATAN kes kemalangan maut melibatkan seorang pelajar sekolah dan seorang pegawai kanan polis di Ipoh, semalam akan dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.
Jaminan itu dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti dilapor BH Online, hari ini.
Menurut Razarudin, beliau telah mengarahkan siasatan secara menyeluruh kepada Ketua Polis Daerah Ipoh; Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan kes itu akan dijalankan secara telus dan adil walaupun melibatkan pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan (DSP) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Pada ketika ini, Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
“Polis sudah merakam percakapan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah terbabit yang melihat dan berada di tempat kejadian.
Baca artikel lain: Kes pelajar maut dilanggar, pegawai kanan polis ditahan
“Selain itu, juga pegawai polis terbabit sudah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini,” katanya.
Semalam, seorang pegawai kanan polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kemalangan membabitkan pelajar lelaki berusia 17 tahun yang maut dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 44 tahun itu yang bertugas di IPK Kedah ditahan dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pada masa sama, pihak polis turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.
Hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

