WARIS Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim berhasrat membangunkan sebuah galeri atau mini muzium di atas tanah kediaman mahaguru silat tersebut.
Setiausaha Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia, Siti Aluyah Hussin dalam kenyataan memaklumkan, waris tunggal Meor Abdul Rahman iaitu Siti Fadzilah dan keluarga serta murid silat Gayong juga mahu membangunkan sebuah pusat latihan silat di atas tanah tersebut.
Menurut Siti Aluyah, usaha untuk membangunkan tanah itu telah lama terpendam, namun terhalang atas sebab teknikal pemilikan tanah.
Beliau berkata, nama-nama pemilik tanah yang dinamakan dalam senarai waris tidak dapat dikesan walaupun ramai murid silat Gayong menawarkan bantuan.
Siti Aluyah memaklumkan, antara nama dalam geran tanah termasuk Siti Fadzilah yang kini ditukar kepada Siti Nurdiana Hussin dan anak angkat Meor Abdul Rahman iaitu Sazali Salleh.
“Permasalahan yang dihadapi ini dilihat dapat diselesaikan dengan bantuan Kerajaan Negeri Perak.
“Jasa Meor Abdul Rahman wajar diabadikan di tapak ini bagi manfaat anak-anak Gayong di dalam dan luar negara serta masyarakat umum setempat.
“Siti Fadzilah serta keluarga bersedia menerima nasihat dan bantuan bagi menyelesaikan kemelut hak milik tanah bagi membolehkan usaha membangunkannya seperti mana yang dihasratkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia, Siti Aluyah berkata, tujuan penubuhannya adalah untuk menjaga kepentingan harga intelek ciptaan Meor Abdul Rahman dengan hasrat utama supaya tidak dicemar keaslian ilmu dan adat istiadat silat.
Selain itu, kata beliau, pertubuhan itu juga berperanan menjaga kebajikan waris zuriat.
Beliau menjelaskan, keahlian kepada pertubuhan itu terdiri daripada waris zuriat dan anak-anak angkat yang dipelihara Meor Abdul Rahman.
Baca artikel lain: Usaha lobi silat ke Sukan Asia 2026 dipergiat – Megat Zulkarnain
Siti Aluyah berkata, Siti Fadzilah telah diangkat sebagai waris mutlak Silat Seni Gayong setelah kematian Meor Abdul Rahman pada tahun 1991.
“Pada 27 Januari 1971, Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Idris Shah Almarhum Sultan Iskandar telah merasmikan pusat latihan tertinggi Silat Seni Gayong di Lot 15750 Mukim Tupai, daerah Larut dan Matang yang berkeluasan 1.1 ekar.
“Tanah di Air Kuning, Taiping ini adalah tanah kurnia Istana Perak kepada Meor Abdul Rahman atas jasanya mengembangkan silat seni Gayong.
“Tanah ini berstatus tanah pertanian. Setelah pemergian Meor Abdul Rahman dan Sazali berpindah, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar dengan pihak berkuasa tempatan telah menghentikan bekalan elektrik, air dan kemudahan saliran perparitan,” katanya.
Semalam, media melaporkan kediaman Allahyarham Meor Abdul Rahman itu yang usang serta menunggu masa untuk menyembah bumi akan dibina semula.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pembinaan semula rumah lahirnya ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara itu dijangka bermula seawal tahun depan.
Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan bantuan dihulurkan bagi pembinaan semula rumah itu adalah atas kapasiti peribadi dan tidak melibatkan Pesaka.
Beliau juga telah bertemu dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad untuk memaklumkan mengenai usaha membina semula rumah berkenaan, selain berbincang tentang proses dokumentasi antaranya melibatkan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

