PENIMBANG tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa, yang mengeluarkan Award Akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menghina mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada 8 Jan lepas berkata Mahkamah Sepanyol turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.
Malaysia memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya berhubung Award Akhir di negara lain.
Pada 28 Feb 2022, Stampa mengeluarkan Award Akhir itu kepada lapan warga Filipina terbabit dan bagi menguatkuasakannya, mereka dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.
Berikut adalah kronologi kes membabitkan Kumpulan Sulu:
22 Jan 1878 – Dua perjanjian dimeterai oleh Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbecak & Alfred Dent (Perjanjian 1878) yang antara lain menetapkan bahawa Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara dan sebagai balasan, Sultan Sulu serta dan warisnya akan menerima bayaran wang serahan 5,000 dolar setahun.
1903 – Perjanjian dimeterai oleh kedua-dua pihak bagi pengesahan beberapa pulau di luar lingkungan sembilan batu nautika dari pantai Pulau Borneo sebagai kawasan yang turut diserahkan dalam Perjanjian 1878 dengan penambahan 300 dolar menjadikan jumlah keseluruhan wang serahan sebanyak 5,300 dolar setahun.
1936 – Sultan Sulu mangkat dan tiada lagi Sultan Sulu yang diiktiraf oleh Kerajaan Filipina.
1939 – Warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu telah memperoleh perintah Mahkamah Tinggi Borneo bahawa waris keturunan Sultan Sulu yang telah dikenal pasti berhak menerima wang serahan di bawah Perjanjian 1878. Mahkamah Borneo Utara memutuskan bahawa terdapat sembilan waris yang berhak menerima wang serahan seperti yang disenaraikan dalam Macaskie Judgement 1939.
1963 – Kerajaan telah meneruskan pembayaran wang serahan itu apabila Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.
BERITA BERKAITAN Dakwa kerajaan pro-Israel dan Barat, Papagomo mengaku tak bersalah menghasut di FB
2013 – Pembayaran wang serahan itu telah dihentikan oleh Kerajaan Malaysia pada 2013 selepas insiden serangan Lahad Datu di Sabah.
1 Feb 2018 – Pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu (Penuntut) telah memfailkan permohonan kepada Superior Court of Justice di Madrid, Sepanyol untuk melantik penimbang tara.
22 Mei 2019 – Mahkamah Sepanyol telah melantik Stampa, penimbang tara antarabangsa yang berpusat di Madrid, untuk mengendali tuntutan itu.
30 Julai 2019 – Penuntut mengemukakan Notis Timbang Tara melalui Kedutaan Malaysia di Madrid.
14 Jan 2020 – Mahkamah Tinggi Sabah telah mengeluarkan Perintah yang memutuskan antara lain bahawa Perjanjian 1878 tidak mempunyai peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, penimbang tara tiada bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh Penuntut Sulu dan forum yang layak untuk mendengar perkara itu ialah Mahkamah Tinggi Sabah.
6 Nov 2020 – Jemaah Menteri bersetuju Kerajaan Malaysia melantik peguam antarabangsa melalui Jabatan Peguam Negara bagi membantu memberikan khidmat nasihat perundangan dan pandangan bebas.
29 Jun 2021 – Mahkamah Tinggi Madrid membuat keputusan yang berpihak kepada Kerajaan Malaysia dan seterusnya membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara. Kesan keputusan itu telah membatalkan semua aturan dan perintah yang dibuat oleh Stampa sebelum dan selepas keputusan tersebut.
13 Okt 2021 – Mahkamah Tinggi Madrid memutuskan bahawa Award Awal mengenai Bidang Kuasa yang dibuat oleh Stampa adalah tidak sah dan terbatal selaras dengan keputusan mahkamah sama pada 29 Jun 2021.
28 Feb 2022 – Stampa telah mengeluarkan Award Akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu terbabit. Award itu bagaimanapun memutuskan isu kedaulatan Sabah.
3 Mac 2022 — Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan Award Akhir di Mahkamah Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.
10 Mac 2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-Undang) berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan serta prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan itu kepada Kumpulan Sulu yang diputuskan oleh Stampa.
12 Julai 2022 — Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Award Akhir itu.
24 Jan 2023 – Mahkamah Luxembourg membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia selepas mengetepikan perintah sitaan aset yang dimohon oleh Kumpulan Sulu berdasarkan dua award timbang tara dikeluarkan oleh Stampa.
25 Jan 2023 – Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan kumpulan itu berhubung pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara bagi mendengar tuntutan mereka. Kesannya ialah tiada tindakan lain boleh diambil di hadapan Mahkamah Sepanyol kerana ia adalah keputusan muktamad dan tiada apa-apa rayuan yang boleh dibuat selepas itu.
2 Feb 2023 – Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengekalkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian Sulu.
16 Feb 2023 – Agensi berita Reuters mengeluarkan laporan bertajuk Petronas units in Luxembourg seized again in US$14.9 bilion arbitration dispute yang menyebut bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu terhadap dua anak syarikat Petronas di Luxembourg.
Ini susulan permohonan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan Award Akhir yang mereka peroleh terhadap Malaysia.
17 Feb 2023 – Azalina berkata Malaysia tidak menerima sebarang notis rasmi berkaitan perintah sitaan aset di Luxembourg oleh Kumpulan Sulu.
17 Feb 2023 – Petronas menyifatkan tuntutan Kumpulan Sulu itu sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.
16 Mac 2023 – Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 berhubung penguatkuasaan Award Akhir itu.
6 Jun 2023 – Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah membenarkan Malaysia mencabar award yang dikeluarkan Stampa dalam kes tuntutan Sulu dan mendapati penimbang tara itu telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.
27 Jun 2023 – Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir di negara itu.
30 Jun 2023 – Azalina dalam sidang media Malaysia-Kes Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia berkata negara bertindak ofensif dan tidak menolak kemungkinan menyaman Kumpulan Sulu susulan kerugian yang dialami Malaysia gara-gara tindakan undang-undang yang diambil oleh mereka.
6 Nov 2023 – Mahkamah Perancis membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik kerajaan Malaysia di Paris oleh Kumpulan Sulu.
Mahkamah sama turut merekodkan penarikan balik oleh kumpulan itu dalam prosiding rampasan aset terhadap bangunan yang sama.
Setakat ini, prosiding membabitkan pertikaian Sulu di beberapa mahkamah iaitu di Perancis, Luxembourg dan Belanda masih ada yang belum selesai.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

