SEORANG pengarah sebuah syarikat dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur secara berasingan hari ini atas 17 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.
Tertuduh, Chin Wai Lan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Azrul Darus.
Dalam prosiding pertuduhan di hadapan Hakim Datin Sabariah, wanita itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima RM50 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam beberapa akaun syarikat dan ke dalam akaun peribadinya sendiri.
Manakala di hadapan Hakim Azrul, ibu tunggal kepada dua anak itu didakwa atas lapan lagi pertuduhan yang sama membabitkan wang berjumlah RM114 juta.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank di sekitar Kuala Lumpur dan di Shah Alam, Selangor antara 23 Disember 2020 sehingga 21 Disember 2022.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang dibaca bersama 87(1)(a) akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SC, Muhammad Izzat Fauzan tidak mencadangkan sebarang jumlah jaminan ke atas tertuduh ekoran tertuduh mempunyai risiko melarikan diri (flight risk) semasa ditahan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), semalam.
Pihak pendakwaan dimaklumkan tertuduh telah membeli tiket penerbangan untuk ke Singapura semalam selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya sehari sebelum itu.
Susulan itu, tertuduh ditangkap di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 2.05 petang iaitu sejam sebelum berlepas ke Kota Singa itu.
Bagaimanapun peguam Lee Keng Fatt memberitahu mahkamah tujuan tertuduh membeli tiket penerbangan ke Singapura adalah untuk menghadiri satu konsert di Macau pada 14 Januari ini, bukan untuk melarikan diri.
“Tertuduh juga mempunyai dua orang anak masing-masing berusia 10 tahun dan 20 tahun yang masih belajar di dalam negara. Tertuduh turut menanggung seorang bapa berusia 80 tahun.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit kolestrol tinggi, tekanan darah tinggi dan anemia. Mohon sejumlah jaminan yang munasabah ke atas tertuduh,” hujah peguam itu.
Kedua-dua Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan jaminan ke atas tertuduh berjumlah RM14 juta bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 26 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

