RM29.03 bilion aset 1MDB telah dipulangkan, terbaharu lebih RM23 juta

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEBANYAK RM29.03 bilion aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya dipulangkan dari tahun 2019 sehingga kini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua aset itu berjaya diperoleh semula menerusi kerjasama pihaknya dengan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB selain kerjasama daripada agensi luar negara.

Terbaharu, SPRM berkata, suruhanjaya itu berjaya memperoleh semula wang termasuk aset 1MDB berjumlah RM23,911,460.90.

Katanya, wang dan aset tersebut berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.

SPRM memaklumkan, kejayaan memperoleh semula wang itu adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada tahun 2023 dan pada 5 Februari lalu.

“Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib iaitu seorang pegawai 1MDB yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated di mana individu itu mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi perintah pelepasan akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, SPRM memaklumkan wang berjumlah AS$972,251.25 atau RM4,551,399.45 telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia pada 29 September 2023.

Baca artikel lain: Pasukan Petugas 1MDB pertimbang tindakan undang-undang terhadap bank asing

Menurut SPRM, wang itu telah diperoleh semula menerusi penyerahan secara sukarela oleh pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Amhari Effendi menerusi pindahan wang daripada BSI Bank Switzerland.

Pada 8 November 2023 pula, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucuthak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Najib iaitu Mohammad Kamal Yan Yahaya.

“Individu ini telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura di mana dirinya mempunyai kepentingan,” katanya.

SPRM berkata, ketiga-tiga proses pemulihan aset itu telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Pada masa sama, katanya, proses pemulihan aset itu diteruskan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying dilucuthak kepada SPRM.

Jelasnya, harta-harta yang berada di Malaysia dan Singapura berjumlah RM11,753,785.81 itu telah dilucuthak pada 5 Februari lalu.

“Permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Mahfuz dakwa Onn Hafiz kaitkan istana dengan politik

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menegur tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengaitkan...

More Articles Like This