Orang ramai khususnya anak jati Wangsa Maju, pemastautin tetap mahupun yang bekerja di dalam kawasan parlimen Wangsa Maju dipelawa untuk sama-sama memeriahkan karnival Havoc Wangsa Maju Kita Punya 2024 yang akan berlangsung pada 24 Februari ini bertempat di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
FunWalk, pelancaran kad Wangsa Maju Kita Punya serta penyampaian biasiswa oleh Yayasan MSU antara tiga acara utama dalam karnival ini.
“Ia akan dimulakan dengan acara FunWalk yang bertemakan bandar rendah karbon yang juga salah satu kempen untuk mengetengahkan Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon untuk kelestarian alam. Malah, peserta yang tampil mengikut ciri yang ditetapkan dengan tema bandar rintis rendah karbon berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai,” kata Zahir Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Orang ramai yang menyertai FunWalk ini juga akan menjadi antara yang terawal memiliki Kad Wangsa Maju Kita Punya. Kad tersebut merupakan inisiatif tambahan kepada pelekat kenderaan yang diperkenalkan tahun lalu, dengan menyasarkan warga Wangsa Maju yang tidak berkenderaan serta berusia 15 tahun ke atas.
Dengan fungsi yang sama seperti pelekat kenderaan, pemilik kad layak untuk menebus ganjaran dalam program bulanan yang dijalankan.
“Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama MSU (Management and Science University) sebagai rakan strategik, di mana MSU akan menawarkan biasiswa kepada calon-calon SPM 2023 untuk melanjutkan pelajaran ke MSU. Maklumat tentang kursus yang ditawarkan boleh didapati sepanjang karnival berlangsung,” ujar Zahir sewaktu ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju.

Selain daripada tiga acara utama ini, pelbagai aktiviti lain turut disediakan sepanjang karnival berlangsung. Antaranya, saringan kesihatan percuma, bazar SDG Back To School, sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan, KWSP dan PTPK serta kaunter-kaunter agensi seperti DBKL, pendaftaran PADU, PTPK, KWSP, Tabung Haji dan banyak lagi.
Tambah Zahir, pihaknya turut akan menyalurkan bantuan seragam sekolah kepada anak-anak Wangsa Maju terutama kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persektuan.
Dijangka 1,800 pengunjung akan hadir memeriahkan karnival ini. Untuk pendaftaran FunWalk serta maklumat lanjut, boleh layari laman media sosial Zahir Hassan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

