PEGUAM Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mendakwa telah membuat tiga laporan polis setelah menerima beberapa ugutan bunuh.
Ia susulan tindakan Nik Elin mencabar beberapa kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Memetik laporan BH Online, Nik Elin memberitahu telah menerima banyak ancaman, serangan dalam talian di samping ancaman untuk ‘menyembelih’ dirinya.
“Saya sudah tak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham.
“Kalaulah mereka meluangkan masa untuk membaca dan memahami undang-undang dan sebab di sebalik cabaran (yang saya buat) itu, mereka akan faham.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah mengikut arahan pemimpin politik mereka secara membuta tuli,” katanya dalam wawancara bersama New Straits Times.
Mengulas lanjut, Nik Elin mendakwa ada segelintir pihak gagal memahami motivasi di sebalik petisyen yang difailkannya itu.
Beliau menegaskan, Islam ditakrifkan oleh keamanan, satu konsep yang berbeza dengan tindakan ahli politik tertentu dan pengikut mereka.
“Sedangkan Islam bagi kita adalah tentang cinta, belas kasihan, dan kedamaian…. tindakan mereka (ahli politik tertentu) adalah bertentangan dengan ini.
“Mudah-mudahan mereka akan membuka minda mereka. Ahli politik memilih untuk mengambil langkah terdesak,” katanya.
Baca artikel lain: Kanun Syariah Kelantan: Keputusan mahkamah jadi duluan yang mengikat, cetus kesan domino – Pakar
Malah, beliau mendakwa, ada sebahagian individu turut mempolitikkan isu tersebut walaupun tidak mempunyai kaitan dengan politik.
Katanya, beberapa pihak itu turut mempersoalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan perkara itu tiada kena mengena dengan Perdana Menteri atau pun parti politik tertentu.
“Ini hanyalah cabaran (undang-undang) yang kami buat bagi pihak rakyat Malaysia,” katanya.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli pula membuat keputusan bertentangan.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Nik Elin, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

