AKTRES Fasha Sandha memberitahu hubungan baiknya dengan Nora Danish berlaku secara ‘natural’ tanpa ada campur tangan pihak lain.
Kata Fasha, semuanya bermula selepas Nora mengikutinya di Instagram yang nyata mengejutkan dirinya ketika itu.
“Boleh dikatakan hubungan kami pulih secara ‘natural’, tidak dipaksa dan bukan atas nasihat orang lain. Mulanya memang takut juga kalau-kalau Nora masih marah dengan saya lagi atau tidak.
“Apabila saya lihat di Instagram, saya nampak dia ‘follow’ saya dan ia agak mengejutkan saya. Lama juga terfikir sama ada nak ‘follow’ semula ketika itu,” katanya kepada URTV.
Seiring dengan peningkatan usia, Fasha enggan lagi menoleh ke belakang mengenang kisah lalu.
Malah, Fasha yang juga isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu menganggap hubungan mereka yang kembali jernih itu memberi rahmat buat anak-anak.
“Apa yang berlaku dulu merupakan zaman di mana kami masing-masing masih mentah.
“Apapun kami bersyukur kerana pengalaman itu, masing-masing berjumpa dengan lelaki yang tepat.
“Kalau tidak, kita tak akan bertemu dengan cinta hati masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, Nora berkata, kemelut yang berlaku antara mereka sebelum ini banyak mengajar erti kematangan.
Ujar Nora, dia melihat kejujuran yang ada pada diri Fasha dan tidak rasa janggal meskipun pernah berselisih faham dengan pelakon itu sebelum ini.
“Sewaktu berjumpa Fasha semula saya tidak pula merasa kekok. Saya nampak kejujurannya, kami tidak ‘fake’. Saya merasakan segalanya ada hikmah. Allah sebaik-baik perancang.
“Saya sayang antara satu sama lain dan mahu lupakan apa yang pernah berlaku dahulu kerana semua dah tak penting lagi.
“Anak kami merupakan adik beradik… Jejai (bekas suami) pun memang baik dengan kami berdua. Jadi, kami ini dah jadi keluarga,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

