PENYANYI Adira Suhaimi menyifatkan penceraian adalah jalan terbaik untuk menamatkan kemelut rumah tangganya bersama suami, Datuk Seri Adnan atau lebih mesra dengan gelaran Datuk Red.
Jelas Adira, biarpun suami masih sayang dan berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, namun penyanyi Ombak Rindu itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi tinggal bersama.
“Buat masa sekarang, itu sahaja jalan yang saya nampak (bercerai). Saya percaya pihak suami mahu kami berbaik semula.
“Namun, jalan (penyelesaian) yang saya nampak adalah dengan berpisah (bercerai),” katanya kepada URTV.
Adira berkata demikian ketika ditemui semasa program Zumba With Nora Danish & Elisya Sandha di Kuala Lumpur.
Biarpun ditakdirkan tidak lagi sebumbung, Adira tetap akan membenarkan Datuk Red untuk bertemu dengan anak-anak mereka pada bila-bila masa.
Adira tetap berfikiran positif meskipun rumah tangga yang dibina bersama selama sembilan tahun itu kini boleh diibaratkan seperti retak menanti belah.
Sebagai ibu kepada empat orang anak, dia juga enggan terlalu larut dengan kesedihan.
Justeru, Adira dilihat sering berkongsi kandungan yang membahagiakan di media sosial bersama anak-anaknya.
“Apa yang saya tunjukkan dalam media sosial, itulah keadaan diri saya yang sebenar. Saya tidak berpura-pura.
“Penting sebagai ibu kepada empat orang anak, untuk tunjuk yang baik-baik sahaja. Sebagai ibu, saya kena selalu positif untuk anak-anak,” ulasnya.
Menurut Adira, dia sudah lama memendam perasaan sekaligus mendorong dia untuk terus kuat menjalani ujian hidup.
“Kekuatan yang saya ada bukan diperoleh sejak setahun dua lalu. Sebenarnya saya dah lama jalani ujian dan pengalaman.
“Itu yang buatkan saya kuat sekarang. Pengalaman telah memberi saya pengajaran untuk menjadikan saya lebihg matang, tenang dan kuat,” katanya.
Sebelum ini, Adira memfailkan penceraian dengan suaminya pada 25 Oktober lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Malah, beberapa tahun lalu, penyanyi itu juga pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Datuk Red di mahkamah sama pada 1 April 2019.
Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia 2 tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

