PELAWAK Ali Puteh berkongsi kepada semua bahawa dia sudah melunaskan bayaran hutang saman kepada balu Allahyarham Abam iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali berjumlah RM72,490, semalam.
Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan,35, memberitahu, dia membuat bayaran kepada akaun perbankan kakak iparnya itu melalui mesin deposit tunai.
“Hari ini (Sabtu) saya sudah selesaikan apa yang tertunggak. Saya baru balik dari bank. Baru ada kelapangan.
“Bank tutup pula jadi terpaksa guna CDM (mesin deposit tunai),” katanya.
Ali berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikToknya. Dalam video tersebut, Ali turut menunjukkan 27 keping resit sebagai bukti pembayaran yang sudah dilangsaikan.
Sementara itu, Ali memaklumkan bayaran asal iaitu RM75,486.48 ditolak sebanyak RM3,000 disebabkan Hidayah turut berhutang dengannya.
“Balu (Hidayah) juga ada sangkut hutang dengan saya RM3,000. Peguam kata kontrakan sahaja dengan jumlah wang ini.
“Jadi saya bayar RM72,490. Selepas ini, saya harap tiada lagi sebarang dakwaan atau berpanjangan isu ini.
Maaf lambat sedikit (buat bayaran) sebab ada kekangan kerja,” ujarnya.
Menganggap apa yang terjadi sebagai pengajaran, Ali berharap selepas ini dia lebih fokus untuk mencari nafkah buat keluarganya.
“Saya ambil ini sebagai satu pengajaran buat diri sendiri dan semua. Selepas ini, fokus kacau sambal,” ungkapnya.
Terdahulu, 20 Februari lalu, Ali berkongsi siaran langsung di media sosial ketika hadir ke rumah Hidayah bagi menyerahkan hutang sebanyak RM75,000.
Bagaimanapun, Hidayah menolak untuk menerima secara tunai dan meminta Ali membawa wang ke pejabat peguam atau dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Wang itu adalah tuntutan selepas Ali kalah dalam kes saman fitnah terhadap Hidayah seperti mana ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.
Sekadar info, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangannya bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang kakak iparnya.
Antara trofi yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.
Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih.

