PELAKON sensasi Aliff Aziz berjanji akan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku susulan kes tangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies, awal pagi semalam (Sabtu).
Menerusi hantaran yang dimuat naik Aliff di InstaStory miliknya, dia memaklumkan kejadian tangkapan khalwat terhadap mereka tidak seperti yang ditularkan.
Menurut Aliff yang dibebaskan dengan jaminan berkata, terlalu banyak spekulasi dan berita berlebih-lebihan disebarkan berhubung serbuan dan penangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Assalamualaikum kepada semua. Berdasarkan situasi yang berlaku sejak semalam, terlalu banyak spekulasi dan laporan berlebih-lebihan terhadap perkara sebenar apa yang telah berlaku.
“Tetapi saya faham, tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.
“Seharusnya, keadaan dapat dielakkan, tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelak lebih salah faham tentang apa yang terjadi,” tulisnya.
Tambah Aliff lagi, dia tidak bermaksud untuk mempertahankan diri tidak bersalah tetapi hanya mahu menerangkan kisah sebenar disebalik apa yang berlaku ketika situasi itu berlaku.
“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar, insya-Allah.
“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti, sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua. Insya-Allah,” ujarnya.
Awal pagi semalam, media melaporkan Aliff yang juga suami kepada pelakon Bella Astillah dan Ruhainies dicekup berkhalwat dan bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Tangkapan yang dibuat Jawi difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.
Aliff dan Ruhainies juga telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

