Pemain industri dari Jepun, Korea dan Turkiye menjalin kerjasama dalam melaksanakan inisiatif memperkukuh industri makanan secara global.
Menjadikan Malaysia sebagai hub perantara, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Asia, Satoshi Umino, kedudukan kukuh dan kepakaran Malaysia dalam industri makanan halal bakal menjadi pemudahcara kepada usaha tersebut.
“Sustainable Food Camp merupakan satu inisiatif di mana syarikat pemula di seluruh Asia akan berkumpul dan menjalin kolaborasi dalam memperkukuh industri makanan di masa hadapan.
“Untuk kem tahun ini, Ajinomoto merupakan rakan kongsi utama kami yang cukup bersemangat dalam menyumbang dan memberi nilai tambah dan mereka sudi mewujudkan industri baharu dengan strategi yang dipanggil ‘green food’ untuk memperkukuhkan keselamatan makanan di rantau ini,” jelasnya menyatakan seramai 100 organisasi dan 200 individu dari Malaysia, Jepun, Korea, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Taiwan terlibat dalam kem pada tahun ini.

Memberi fokus kepada tiga isu penting kestabilan makanan di rantau Asia, jelas Satoshi lagi, kem ini turut melahirkan kolaborasi dan idea baharu serta peluang menjana kapital bagi projek yang bakal dijalankan.
“Banyak aktiviti dan idea dijana dalam kem kali ini di mana ia bukan sekadar melibatkan keterjaminan makanan, malah isu diabetik, ekonomi, kitar semula dan keselamatan makanan turut diperbincangkan dan ditambahbaik dengan teknologi yang ada. Kami juga membincangkan isu membasmi kemiskinan dan kekurangan nutrisi di kalangan masyarakat.
“Untuk kem kali ini, kami memberi fokus kepada tiga agenda iaitu meningkatkan persekitaran melibatkan gender, akses kepada nutrisi dan kesaksamaan sosial.
“Tahun ini kami memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan industri dari Jepun, Turkiye dan Korea. Kami mahu mengembangkan kempen ini sehingga ke Asia Tenggara ke seluruh kontinen Asia,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sustainable Food Asia (Jepun), Kok Projekt (Turkiye) dan Merry Year Social Company (Korea Selatan).
Berhubung MoU yang dimeterai, jelas Satoshi, pihak Sustainable Food Asia mahu menjalin kolaborasi antara negara Korea dan Turkiye dalam mewujudkan ekosistem kestabilan makanan.
“Buat masa ini kami akan bertukar teknologi dan idea yang digunakan pakai dan mengembangkan perkhidmatan mengikut keperluan. Dan kami memilih Malaysia kerana negara ini cukup strategik, malah industri halal Malaysia juga sangat kukuh. Populasi masyarakat Islam juga semakin berkembang seluruh dunia dan komuniti Islam merupakan sasaran utama dalam perancangan masa hadapan kami.
“Industri makanan mempunyai rantaian yang cukup panjang dan kami seorang sahaja tidak mampu untuk melakukan perubahan. Jadi gabungan antara beberapa negara dalam melaksanakan idea dan mencari solusi terbaik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengguna Ajinomoto, Yoshiyuki Ozawa berkata Ajinomoto selaku rakan kongsi utama teruja akan kerjasama yang terjalin dan menyifatkan Malaysia selaku tuan rumah yang cukup kompeten sebagai hub dalam industri makanan halal.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang penting bagi Ajinomoto dalam aspek industri makanan halal dan perolehan pengiktirafan Halal oleh Jakim. Malah Malaysia menjadi negara pengeluar makanan halal yang mengeksport ke Timur Tengah dan kerjasama antara Ajinomoto dan Malaysia telah bermula sejak 1961.
“Kami juga dalam usaha membangunkan industri ‘green food’ yang mesra alam dan memberi fokus kepada budaya di Asia. Mereka punya banyak idea yang unik dalam membangunkan ‘green food’ yang saya fikir kurang memberi kesan buruk kepada alam sekitar” katanya.

