PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan.
Beliau berkata Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia ke Parlimen bulan ini.
“Sila ikuti perkembangan di tanah air… soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Berlin, Jerman.
Anwar berkata pindaan terhadap Perlembagaan berhubung perkara itu akan menoktahkan isu tersebut.
“Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” kata Perdana Menteri yang kini berada di Jerman dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari.
Baca artikel lain: PM tarik lebih banyak perniagaan Jerman melabur di Malaysia
Mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil Global Bersih bahawa kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara berdepan kesukaran mengundi pada dua pilihan raya umum lepas, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti perkara itu.
“Kita kena mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian, kita ada pejabat MIDA, Matrade,” katanya.
Perdana Menteri berkata SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air.
Anwar juga berkata pelajar yang merupakan lulusan dari Jerman mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan di tanah air kerana syarikat negara itu yang beroperasi di Malaysia biasanya akan mencari mereka.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

