PELAKON Abby Abadi akhirnya mengesahkan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim sudah bernikah di Thailand dan bergelar isteri kedua kepada lelaki pilihannya, Mohd Aslam.
Biarpun pasangan itu sehingga kini terus mengunci mulut namun sebagai ibu, Abby mengambil tanggungjawab itu tersebut untuk mendedahkan hal sebenar agar tidak timbul fitnah di kemudian hari.
Meskipun sudah reda dengan jalan yang dipilih anak keduanya itu bersama Norman Hakim, Abby mahu pernikahan tersebut didaftarkan mengikut undang-undang di negara ini.
“Saya memperakui Marissa dan Aslam menikah di Thailand. Sijil nikah mereka ada pada saya.
“Cuma saya mahu mereka selesaikan isu ini. Daftar pernikahan di Malaysia, sahkan ia kerana kita tinggal di Malaysia.
“Saya bimbang pernikahan di Thailand sah atau tidak sebab itu saya minta mereka daftar pernikahan di sini. Selesaikan benda yang belum selesai,” kata Abby menerusi temubual bersama Gempak.
Menerusi temubual itu juga, Abby turut berkongsi bagaimana dia mula menyedari Marissa keluar rumah tanpa pengetahuannya untuk bernikah di Thailand.
“Melalui kamera litar tertutup (CCTV), saya naik hairan apabila kawan Marissa keluar dari rumah saya. Pada hari sama Marissa dan Aslam menikah.
“Rupanya dia letak kawan dia dekat rumah macam ganti dia supaya tak tahu dalam bilik tu tak ada orang. Sangat-sangat tak terjangka di akal,” kongsinya.
Kata Abby, dengan meminta pertolongan daripada seorang rakan yang bekerja sebagai polis, barulah dia mengetahui Marissa berada di Thailand bersama Aslam.
“Tapi saya tahu pun sudah lambat. Saya dapat kesan mereka di Thailand atas bantuan rakan polis. Saya beri maklumat dan mereka bantu jejak, tahu-tahu sudah di Thailand.
“Saya hubungi anak tetapi tidak dapat mungkin telefon bimbit ditutup.
“Saya mengharapkan benda tidak berlaku, tapi berlaku. Saya cuba menidakkan ia tak sah tapi siapalah saya kalau sudah Allah kata itu yang terbaik untuk mereka,” ujarnya dengan nada reda.
Sementara itu, Abby turut mengulas mengenai menantunya, Aslam yang sejujurnya dia masih belum mengenali lelaki itu secara lebih dekat.
“Saya reda. Kalau anak saya memilih untuk dia hidup bermadu, teruskan,” tuturnya.
Pada 7 Februari lalu, Marissa dan Aslam menjadi bualan ramai apabila timbul gosip mereka sudah bernikah di Songkhla, Thailand.
Lebih pedih lagi, pernikahan itu berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan sedang mengerjakan umrah di Makkah bersama keluarga pada 27 Disember tahun lalu.
Kisah mereka sudah mula diperkatakan pada September tahun lalu apabila Marissa didakwa sebagai orang ketiga sehingga menyebabkan Aslam dan Misya bercerai.
Bagaimanapun mereka kembali rujuk ketika masih dalam tempoh idah.
Aslam dan Misya mempunyai dua cahaya mata iaitu Hud, 3, dan Nuh, 2 tahun.

