ISTERI kepada bekas jaguh bola sepak kebangsaan, Safee Sali hari ini mendedahkan bahawa sudah tidak dapat berhubung dengan dua anak kandungnya sejak sebulan yang lalu.
Fitria Elfina Maharip, 44, mendakwa bahawa Safee dikatakan telah melarikan kedua-dua anak kandung mereka, Shanika Salsabila Mohd Safee, 9, dan Shania Safina Mohd Safee, 7, sejak 6 Februari lepas.
“Sekarang saya sedang failkan hak penjagaan anak (hadhanah). Saya sudah sebulan lebih tidak berkomunikasi dengan anak- anak dan saya tidak tahu keberadaan anak saya. Sekarang anak-anak bersama Safee Sali,” katanya.
Wanita itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas prosiding Sulh hari ini.
Tambah Fitria, dia turut mendakwa bahawa pernah menerima sepucuk surat daripada anak-anak perempuannya pada hujung Februari lalu yang meluahkan rasa rindu kepadanya.
“Dalam surat itu juga anak-anak saya kata, di sana (bersama Safee) mereka tak selesa kerana katanya orang marah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, peguam yang mewakili Fitria, Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata, proses Sulh yang berlangsung pada tengah hari tadi gagal mencapai persetujuan.
“Anak guam memohon hak penjagaan anak yang penuh, bagaimanapun Safee Sali tidak bersetuju,” ujarnya.
Justeru, Akberdin mengesahkan bahawa pihaknya telah memfailkan tuntutan hadhanah kepada mahkamah selepas prosiding Sulh selesai pada hari ini.
Mahkamah menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tuntutan hadhanah oleh Fitria selaku plaintif terhadap Safee Sali selaku defendan.
Selepas prosiding Sulh itu selesai, Safee yang memakai kemeja-T berwarna hitam, berkaca mata hitam serta memakai pelitup muka keluar dari mahkamah dalam keadaan tergesa-gesa sambil mengelak bertemu pengamal media.

Menurut beliau, Safee Sali telah melafazkan cerai ke atas Fitria secara luar mahkamah pada 11 Februari lepas sebelum Fitria memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Kuala Selangor pada 20 Februari lalu.
Bagi kes itu, Akberdin turut mengesahkan bahawa tarikh sebutan semula bagi pengesahan lafaz cerai akan berlansung di Mahkamah Syariah Kuala Selangor pada esok (19 Mac 2024).
Ketika ditanya mengenai harapan berhubung konflik rumah tangganya, Fitria menegaskan bahawa dia akan terus memperjuangkan haknya demi anak-anak.
“Saya selama ini seratus peratus memang jaga anak-anak saya dan tidak pernah berpisah dengan mereka. Ini kali pertama…
“Sudah setahun lebih saya menahan dan tutup rapat-rapat aib dia (Safee). Tapi kalini saya sudah tidak boleh (tahan) kerana dia telah bawa lari anak-anak saya,” tambahnya lagi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

