
SURAU Al-Aminiah di Kampung Parit Serong, Bagan Datuk, Perak, kampung halaman penulis, masih berdiri kukuh. Ketika pulang baru-baru ini menjelang ketibaan Ramadan, penulis lihat keadaan fizikalnya tidak banyak berubah walau pun sudah dimamah usia.
Cuma bangunannya sedikit pudar kerana fakor hujan panas. Kawasan di sekeliling nampak sedikit semak. Ini boleh difahami kerana surau tersebut sudah lama tidak digunakan.
Surau yang sibuk suatu waktu dahulu terutama pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kini sepi. Kemeriahan dan kesibukan seperti pada tahun-tahun 60-an hingga awal 20-an, tidak lagi dirasai.
Semua ini kerana faktor penduduk kampung yang menyusut tahun demi tahun. Pada era 60-an ketika penulis masih di sekolah rendah, Kampung Parit Serong mempunyai ramai penghuni dari baruh hingga ke darat.
Kampung sentiasa meriah. Kehidupan sangat seronok dan harmoni sekali pun tiada jalan tar, tiada bekalan elektrik dan air paip. Di surau cuma ada kolam, yang kadang kala surut airnya, untuk membasuh kaki dan berwuduk.
Komposisi penduduk kampung sangat menarik kerana merangkumi pelbagai suku kaum. Kaum Melayu, Jawa, Kampar, Banjar semua ada. Malah ada dua keluarga kaum Cina hidup aman damai dikelilingi oleh masyarakat Melayu.
Surau yang terletak di tengah kampung menjadi tempat tumpuan penduduk berkumpul dan solat berjemaah. Kemeriahan dan kesibukan lebih ketara pada pada bulan Ramadan di mana kehadiran jemaah lebih ramai. Saban malam ruang solat dipenuhi jemaah bersolat tarawih.

Pada hari raya, surau menjadi tumpuan penduduk kampung menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ketika itu yang di perantauan balik ke kampung halaman merayakan hari lebaran bersama keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan.
Mengimbau kenangan ini, hati terasa sedih dan sayu. Kenangan lama menjelma kembali sehingga air mata menitis ke pipi. Barangkali itulah juga kesedihan dirasai oleh surau yang berdiri kaku diselubungi kesunyian yang mencengkam jiwa.
Siapa yang hendak menyerikan surau jika penduduk kampung sudah sangat berkurangan. Daripada puluhan rumah yang ada dahulu, kini hanya tinggal belasan buah sahaja. Ramai penduduk, terutama generasi lama, yang telah pergi menghadap Ilahi. Ada rumah yang ditinggal begitu sahaja, dibiar roboh menyembah bumi.
Anak kampung di perantauan jarang balik apabila ayah bonda sudah tiada. Ini menambah kesunyian kampung. Seperti kata seorang teman sekampung, tiada lagi penduduk untuk mengimarahkan surau seperti dahulu.
Sayang sekali setelah Parit Serong menikmati bekalan elekterik dan air paip, serta jalan bertar, penduduk semakin susut. Surau tempat beribadah dan pertemuan penduduk semakin terbiar sepi hingga kini.
Pada bulan Ramadan, penduduk yang ingin bersembahyang tarawih akan pergi ke masjid di kampung sebelah, Kampung Sungai Haji Mohamad. Begitu juga pada pagi Aidilfitri mereka menunaikan solat hari raya di masjid kampung tersebut.
Kentung lama (ketuk-ketuk) masih tergantung di surau. Kentung inilah yang dipukul setiap kali masuk waktu solat. Pada bulan Ramadan, bunyi kentung waktu Mahgrib menandakan masuk waktu berbuka puasa. Pada waktu Subuh, ia menandakan berakhirnya Imsak. Kentung itu kini tidak lagi berbunyi.
Surau Al-Aminiah juga mengimbau kenangan manis membeli ais batu ketul pada bulan Ramadan. Surau menjadi lokasi jualan. Maklum tiada bekalan elektrik, tiada peti ais. Jika hendak minuman sejuk, kena beli ais batu. Saban tahun, rakan penulis bernama Jaafar menjadi penjual.

Ais batu dibekalkan dari Teluk Anson (Telun Intan). Setiap pagi dalam pukul 10 Jaafar akan menunggu lori di jalan utama Teluk Anson—Bagan Datuk. Bungkah ais batu disimpan di surau bersalutkan habuk papan gergaji dan guni tebal, tahan tidak cair hingga petang.
Yang mahu ais batu perlu menempah awal, sama ada sekupang (10 sen), dua kupang (20 sen) atau lima kupang (50 sen). Ini untuk memudahkan Jaafar membuat tempahan. Bungkah ais batu dipotong mengguna gergaji dan diagih kepada pembeli yang datang sendiri lebih kurang satu jam setengah sebelum berbuka.
Kenangan solat tarawih sentiasa dalam ingatan. Penulis selalunya ke surau bersama bapa. Lepas berbuka dan solat Maghrib di rumah, kami bergerak ke surau yang jaraknya sedikit jauh dari rumah dengan berjalan kaki. Cahaya lampu suluh atau obor daun kelapa kering menjadi pemandu meredah kegelapan malam. Surau pula diterangi lampu gasoline.
Tetapi ketika jemaah solat tarawih, penulis ada kala tertidur. Walau pun hanya lapan rakaat terasa lama. Apabila habis solat biasanya akan terjaga sendiri atau digerakkan kawan. Waktu inilah jamuan ‘moreh’ dihidangkan.
Jemaah membawa juadah dari rumah masing-masing. Pendek kata seperti bertukar-tukar juadah untuk dinikmati bersama. Air minum panas disediakan oleh pihak surau. Lepas selesai, balik ke rumah perlu tidur awal. Nanti akan bangun sahur dan bersiap ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Mohamad.
Semua ini kini hanya tinggal kenangan. Surau yang masih megah berdiri tidak lagi sehebat dan semeriah dahulu. Hanya kesunyian mencucuk kalbu. Namun kenangan abadi tetap tersemat di hati.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

