KERAJAAN Madani menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan untuk memenuhi permintaan pengangkutan awam yang tinggi sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 6, 7, 8 dan 9 April ini.
Katanya, ia adalah lanjutan daripada inisiatif bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan.
Di bawah inisiatif itu, Anthony berkata, Kerajaan Madani akan menanggung kos tiket penerbangan sehala yang melebihi RM599 untuk tiga hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.
“Ini bermaksud sesiapa yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya pada empat hari tersebut tidak akan membayar melebihi RM599 untuk harga tiket asas.
“Hal ini kerana sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung Kerajaan. Harga ini tidak termasuk cukai dan fi.
“Harga maksimum ini boleh membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket penerbangan pada saat akhir atau di laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam perjalanan balik kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: Kerajaan pertimbang guna kaedah pajakan untuk aset pengangkutan – Loke
Mengulas lanjut, Anthony berkata, penumpang juga boleh mendapat harga yang lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal.
Menurut beliau, penambahbaikan itu dijangka akan memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta untuk Kerajaan.
Di samping itu, Anthony berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif-inisiatif lain termasuk memudahcara penambahan penerbangan.
Katanya, bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri, MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah memudahcara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April ini.
Jelas beliau, strategi itu telah menunjukkan kesan yang positif di mana lebih banyak tiket penerbangan terutamanya bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga yang lebih murah.
Sementara itu, Anthony berkata, perkhidmatan KTM juga telah menerima sambutan yang baik untuk perantau di Semenanjung.
Katanya, bagi memenuhi permintaan tersebut, KTMB akan menyediakan enam perkhidmatan tren ETS tambahan bermula dari 4 April hingga 15 April ini.
“Tren tambahan ETS ini menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah sebanyak 15,120 termasuk tren ekspres.
“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,” katanya.
Anthony menambah, KTMB turut menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.
Katanya, sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas tersebut.
“Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 buah stesen; iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

