KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memulangkan paku buah keras kepada peguam Siti Kasim yang menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bukannya hero kepada orang Melayu atau Islam berhubung isu kontroversi stoking tertera kalimah Allah.
Dalam hantaran di Facebook, Dr Muhamad Akmal menegaskan beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim apabila agamanya dihina.
Pada masa sama, beliau menjelaskan tidak mahu menjadi seorang hero pun.
Malah, katanya, setiap orang yang mempunyai iman sudah tentu terguris apabila Islam dihina.
“Memang saya tidak mahu menjadi hero. Saya hanya mahu menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim yang terkesan apabila agamanya dihina.
“Setiap orang yang mempunyai iman walaupun senipis kulit bawang pastinya akan terasa apabila agamanya dihina. Kalau tidak terasa, tepuk dada tanyalah iman,” tegasnya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Stoking kalimah Allah: Kelantangan Dr Akmal wakili suara umat Islam, kata Ab Rauf
Semalam, Siti Kasim mendakwa Dr Muhamad Akmal tidak mewakili masyarakat Melayu dan pendirian EXCO Kerajaan Negeri Melaka itu hanyalah aksi politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu Islam kepada UMNO.
Peguam itu turut mendakwa Dr Muhamad Akmal mengeksploitasi isu itu untuk kepentingan politik memandangkan kontroversi perkauman dan agama sebelum ini gagal mencetuskan kemarahan ketara dalam masyarakat Melayu.
Justeru, Siti Kasim turut menggesa orang ramai supaya mengelak daripada terlibat dalam kontroversi itu dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka.
“Jadi diam okey? Awak bukan hero kepada orang Melayu atau Islam. Kita tunggu polis siasat, mungkin ada sabotaj atau kesilapan yang tulen,” katanya kepada Dr Muhamad Akmal.
Sebelum ini, kelantangan Dr Muhamad Akmal berhubung isu tersebut mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Bagaimanapun, Dr Muhamad Akmal tetap dengan pendiriannya dan tidak berganjak daripada desakan memboikot kedai serbaneka KK Mart berhubung kontroversi tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

