BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata pendedahan terbaharu mengenai afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-16 untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman tahanan di rumah menimbulkan persoalan.

Katanya, pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu menimbulkan persoalan bahawa terdapat ‘pihak yang menipu’ berkaitan isu itu memandangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengatakan beliau tidak mempunyai maklumat berhubung kewujudan perintah tersebut.
Hari ini, Ahmad Zahid didedahkan telah mengeluarkan satu afidavit yang menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut dengan menyatakan beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Januari lalu.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, Tengku Zafrul telah menunjukkan salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Oleh itu siapa yang menipu Najib ini? Zahid menipu, (Tengku) Zafrul (Aziz) menipu atau Saifuddin menipu?
“Kalau berdasarkan kenyataan Zahid dan jika apa yang Zahid dan Zafrul cakap itu betul, ia memberi gambaran yang mereka kata Saifuddin dan kerajaan yang menipu dan sorok surat tahanan di rumah Najib itu,” katanya di Facebook.
Isham berkata demikian sebagai respons kepada afidavit difailkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu yang menyokong dakwaan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan untuk beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Malah, Ahmad Zahid juga menyatakan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut maklum kewujudan perintah itu.
“Zahid kata Zafrul kata Agong dahulu ada beri surat tahanan di rumah untuk Najib. Zahid kata Wan Rosdy pun nampak surat ini. Sebelum ini menteri dalam negeri (Saifuddin) kata dia tidak tahu menahu pun berkenaan surat itu.
“Zahid, kenapa selepas dua bulan lebih baru buat kenyataan berkenaan hal ini? Sepatutnya dua bulan lepas kamu sudah buat kenyataan ini jika kamu benar-benar mahu bantu Najib. Kini sudah terciduk baru mengaku?” soal Isham.
“Dan Saifuddin, sila komen jika Zahid dan Zafrul menipu atau kamu yang menipu.”
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri tidak membincangkan pembabitan Zahid sebagai “saksi kritikal” yang mengikrarkan afidavit menyokong permohonan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan Najib meneruskan usahanya bagi memaksa kerajaan mendedahkan perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Pada 2 Feb Najib diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjadikan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

