
KERAJAAN telah mengumumkan bahawa pada pertengahan tahun ini, tiada lagi subsidi minyak akan diberi oleh kerajaan.
Ertinya harga minyak akan diapungkan berdasarkan sepenuhnya kepada harga pasaran.
Antara rasionalnya, pengapungan harga minyak perlu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan. Subsidi bahan api adalah komponen subsidi yang terbesar iaitu sekitar RM80 bilion pada tahun 2022.
Hampir menyamai jumlah gaji dan emolumen penjawat awam. Tidak mustahil ia boleh mencecah RM100 bilion.
Pengapungan harga minyak ini pasti akan menyebabkan beberapa perubahan besar di dalam ekonomi negara dan mengesani kos kehidupan rakyat mengikut tahap pendapatan masing-masing.
Amat penting ehwal ini dikenalpasti dengan terperinci dan mendalam dan dimaklumkan kepada semua bagi membolehkan persediaan awal dibuat.
Kerajaan memaklumkan bahawa bantuan akan diberikan kepada isi rumah secara bersasar, yang layak berpandukan pangkalan data PADU. Apakah kriteria yang akan digunakan untuk bantuan bersasar ini? Bagaimana kerangka penentuan dan bentuk bantuan ini masih belum diumumkan.
Bagaimana pula dengan industri dan sektor perniagaan (khususnya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS)) akan dikesani. Apakah bentuk tindakan atau bantuan bagi membolehkan mereka menyerap kenaikan kos ini, perlu diperhalusi. Atau mungkinkah semua kenaikan kos akan akhirnya ditanggung oleh pengguna akhir, rakyat?
Baca artikel lain: Sekiranya data pentadbiran sudah ada, mengapa perlu PADU?
Saya bersetuju dengan matlamat kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal. Di samping rasionalisasi subsidi, pastinya ada lagi beberapa langkah yang boleh (dan akan) diambil kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.
Sebaiknya, tindakan yang komprehensif diumumkan kepada rakyat. Agar semua jelas dengan agenda besar mengukuhkan kedudukan fiskal ini.
Juga dijelaskan keutamaan, penjadualan dan sasaran yang terperinci dan keberhasilan akhir yang memanfaatkan negara dan rakyat. Semua nampak manfaat yang ingin dicapai. Semua ini perlu dipantau.
Dalam konteks pengapungan harga minyak, saya ingin mengutarakan 10 persoalan penting yang perlu diperjelaskan dan dikenalpasti lebih awal oleh kerajaan.
Ia penting bagi memastikan kelancaran perubahan polisi subsidi ini.
- Adakah pengapungan ini akan dibuat secara berperingkat atau dibuat sekali secara serentak pada satu tarikh khusus yang akan diumumkan kelak?
- Buat masa ini, berdasarkan pengeluaran dan permintaan minyak global serta persekitaran ekonomi dan geopolitik hari ini, apakah anggaran harga apungan yang baharu berbanding harga kawalan semasa?
- Apakah peranan kerajaan selepas subsidi dihapuskan? Adakah kerajaan masih berperanan dalam memastikan harga minyak dipam adalah ‘harga adil’? Bagaimanakah peranan ini akan dilaksanakan? Adakah pengumuman ‘harga adil’ akan dibuat secara berkala supaya rakyat maklum dengan harga pasaran terkini?
- Sekiranya kerajaan tidak lagi terlibat dalam penentuan harga minyak dipam, bagimanakah harga minyak akan ditentukan? Adakah kekerapan perubahan harga minyak di Malaysia benar-benar bebas tertakluk kepada status naik-turun harga minyak global?
- Adakah pemilik stesen dan/atau syarikat-syarikat induk pengeluar minyak bebas menentukan harga masing-masing, tiada lagi keseragaman harga di antara stesen-stesen minyak?
- Buat masa ini pengoperasian stesen-stesen minyak adalah tertakluk kepada terma-terma kontrak dengan syarikat induk yang membekalkan minyak. Adakah berkemungkinan kita akan menyaksikan persaingan dalam kalangan stesen/pengeluar minyak yang menawarkan harga yang berbeza?
- Adakah pemilik stesen dan atau syarikat induk pengeluar minyak bebas menentukan harga minyak tertakluk kepada strategi perniagaan dan persaingan masing-masing? Atau masih perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan jika ingin mengenakan harga baharu?
- Adakah harga minyak di kawasan luar bandar akan berbeza dengan di bandar berdasarkan tahap permintaan dan persaingan yang berbeza antara bandar dan luar bandar?
- Bagaimanakah kita dapat memastikan harga minyak adalah ‘harga adil’ disandarkan bukan sahaja kepada harga minyak di pasaran tetapi juga model perniagaan stesen dan/atau syarikat pengeluar minyak?
- Adakah akan ada limit dalam setiap perubahan harga? Siapa yang akan tentukan? Adakah ia tertakluk kepada tempoh berkala atau sepenuhnya berdasarkan harga pasaran?
Kejayaan merasionalisasi subsidi kerajaan adalah penting dalam memastikan kemampanan fiskal. Hasil kerajaan perlu dibelanjakan dengan cekap dan membolehkan ekonomi negara terus bergerak maju.
Dalami setiap aspek yang berkaitan dan buat persediaan awal. Kerajaan, industri dan rakyat mesti bersama dalam agenda nasional ini. Maklumat yang lengkap wajar disedia dan disebarkan.
Polisi awam bukan lumba Formula 1, mudah diputar arah dan kelajuannya dengan pantas. Ia lebih bersifat Kapal Titanic, mengambil masa untuk bertukar arah dan memerlukan semua lapisan masyarakat dan industri bertindak.
MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

