JENAZAH bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia awal pagi tadi akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti dilapor Harian Metro, hari ini.
Menurut Razarudin, pihaknya sudah pun mendapat kebenaran Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya jenazah Mohammed Hanif dikebumikan di Makam Pahlawan.
“Beliau (Tun Hanif) adalah Ketua Polis Negara yang keempat di mana beliau sangat bijak mengurus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu.
“Dalam masa sama beliau juga sangat membantu kerajaan yang memerintah ketika itu.
“Beliau juga dianggap legenda dalam PDRM,” katanya.
Difahamkan, jenazah Mohammed Hanif akan dimandi dan disolatkan di Masjid Negara sebelum disemadikan di Makam Pahlawan.
Baca artikel lain: Tun Hanif Omar lakar sejarah Ketua Polis Negara paling lama, termuda
Mohammed Hanif menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun sekitar pukul 2.15 pagi tadi.
Pemergian Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat iaitu selama 20 tahun itu dimaklumkan anak Allahyarham, Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif.
Lahir pada 16 Januari 1939 di Teluk Intan, Perak, Mohammed Hanif merupakan Ketua Polis Negara termuda iaitu berusia 35 tahun ketika dilantik pada 1974.
Ketua Polis Negara keempat itu menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah dibunuh dalam serangan komunis.
Memulakan kerjaya sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis pada tahun 1959, Mohammed Hanif dilantik selaku Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.
Pada 1 Februari 1973 beliau menjadi Timbalan Ketua Polis Negara.
Selepas bersara pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

