SEORANG pekebun sawit didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan melakukan hantaran bersifat mengancam terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Facebook, pada Ogos tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas tertuduh, Samsuri Ramli, 45, yang juga pemilik akaun Facebook Sambanjar Perak, mengaku bersalah.
Samsuri selaku orang kena saman (OKS) yang memakai baju berkolar berwarna biru ketika dibacakan pertuduhan itu kelihatan tenang dan sekadar menangguk ketika mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Siti Aminah turut mengarahkan agar Samsuri dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Lelaki itu membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Samsuri didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya dalam bentuk gambar visual bertulis melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “SamBanjar Perak” sekitar jam 5.33 petang, pada 13 Ogos 2023.

Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di Dang Wangi, Kuala Lumpur
Menurut pertuduhan itu, Samsuri mengancam untuk menjatuhkan YDPA sekiranya tidak menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri serta memberitahu bahawa himpunan motosikal besar-besaran di hadapan Istana Negara akan diadakan sekiranya masih berdegil mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu Samsuri yang tidak diwakili perguam sebelum dijatuhkan hukuman, merayu agar mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dengan alasan mempunyai pendapatan yang tidak menentu.
“Saya merupakan anak peneroka yang bekerja di Felda. Saya mempunyai anak seramai empat orang dan ibu saya juga dalam tanggungan saya.
“Pendapatan saya, apabila ada kerja, ada gaji. Bila tiada, kerja tiada gaji. saya mohon agar Yang Arif pertimbangkan rayuan saya untuk meringankan (hukuman) bagi kesalahan saya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Merujuk kepada pertuduhan yang dikenakan terhadap OKS adalah jelas bersifat ancaman kepada YDPA.Tindakan OKS tidak melambangkan kesetiaan dan kehormatan kepada raja.
“Mohon hukum setimpal sebagai pengajaran terhadap OKS dan orang ramai diluar sana agar tidak mengambil ringan dalam menggunakan media sosial,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

