ANAK lelaki kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menerima rasuah RM100,000 dengan menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan tender sebuah syarikat, enam tahun lalu.
Muhammad Faisal Hamzah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Faisal didakwa telah secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM100,000 daripada seorang lelaki, sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan Syarikat Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimiliki oleh Muhammad Faisal.
Syarikat-syarikat itu seterusnya dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan Tender No. SSM 1/2017 ‘Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure’ bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, pada Mac 2018.
Justeru Muhammad Faisal didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Sabit kesalahan, Muhammad Faisal boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul
Jumaat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta memohon agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur bermula bulan Julai, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, sebagai syarat tambahan jaminan.
Bagaimanapun peguam Ravinder Singh Dhalliwal yang mewakili anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu, memohon agar nilai jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan itu dikurangkan pada kadar RM25,000.
“Anak guam merupakan seorang perunding syarikat, dan tertuduh tiada sebarang bantahan berhubung syarat-syarat tambahan.
“Namun, beliau perlu ke luar negara kerana perlu membuka hostel di Thailand. Justeru, tertuduh perlu ke sana selama dua hingga tiga hari setiap bulan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Rozina kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan kesemua cadangan syarat tambahan jaminan oleh pihak pendakwaan selain turut mengarahkan agar tertuduh disenarai hitam untuk ke luar negara.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Julai depan bagi sebutan semula kes.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

