“INI semua fitnah!”.
Itu luahan bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember lalu.
Laungan itu dinyatakan sebaik sahaja dia bersama isterinya yang turut menjadi suspek dalam kes bunuh kanak-kanak itu, diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi ini.
Ia kemudian disambut jeritan oleh ahli keluarga pasangan berkenaan yang menunggu ketibaan mereka di hadapan mahkamah seawal jam 8 pagi.
Sementara itu, datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba turut kedengaran melaungkan ‘anak saya tidak bersalah!’
Ahli keluarga pasangan itu kemudian berkumpul di sekitar perkarangan mahkamah dengan memegang sepanduk yang tertulis ‘Keadilan Untuk Zaim & Isma’ dan ‘Keadilan untuk Zayn Rayyan.
Pasangan suami isteri itu tiba di Mahkamah Majstret Petaling Jaya sekitar jam 9.30 dengan memakai baju lokap berwarna ungu bagi status reman mereka.
Pada 31 Mei, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada pukul 10.05 pagi, bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.
Hussein berkata, penahanan pasangan suami isteri itu mengikut maklumat risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku iaitu pada 6 Disember tahun lalu.
Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Kehilangan Zayn Rayyan itu membuatkan kumpulan penduduk di kawasan apartmen berkenaan mengaktifkan operasi mencari.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengiring berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya pada keesokan harinya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Kes itu diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pelbagai pencarian bahan bukti dilakukan pihak polis di sekitar Apartment Idaman termasuk mengumpul 248 sampel DNA individu dan merakam keterangan saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, guru dan penduduk flat berkenaan.
Februari lalu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Selangor menawarkan ganjaran wang berjumlah RM20,000 kepada mana-mana pihak yang membantu polis sehingga tertangkapnya pembunuh Zayn Rayyan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

