PERUNDING pengurusan acara yang sebelum ini disyaki menipu pelakon, Riezman Khuzaimi selepas dilantik mengendalikan Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia sehingga melibatkan kerugian berjumlah lebih RM200,000 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tertuduh, Rabiatul Adawiyyah Izzaddin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curangnya telah mengambil wang milik syarikat Mission Sight Sdn Bhd berjumlah RM237,370 bagi menguruskan konsert berkenaan namun gagal berbuat demikian, dan menggunakan wang itu bagi kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang Equestrian di sini, Bukit Kiara, Kuala Lumpur antara 7 Mac hingga 15 Mac 2023.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Bernard Francis yang mewakili tertuduh memohon kadar jaminan itu dikurangkan memandangkan pendapatannya tidak menentu dan suarikat milik suami diisytiharkan muflis.
“Mohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan pada kadar RM5,000 sehingga RM7,000,” ujar peguam itu.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Riezman Khuzaimi ketika ditemui pemberita selepas tertuduh selesai didakwa, meluahkan rasa lega apabila kes berkenaan akhirnya dibawa ke muka pengadilan.
“Rasa lega kerana kita bawa perkara ini mengikut lunas undang-undang. Selepas kejadian tipu ini, boleh dikatakan saya trauma kerana ini kali pertama saya mahu anjurkan konsert.
“Namun saya jadikan kejadian ini sebagai pengajaran kepada diri sendiri dan orang ramai,” ujarnya kepada UtusanTV.
Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd selaku penganjur itu turut meluahkan bahawa hubungan dia dengan rakan kongsi yang bersama-sama menjayakan konsert itu kini dingin dan kes berkenaan sedikit sebanyak mencemarkan namanya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

