SEPANJANG tempoh mengusahakan bisnes Nasi Ayam Shiha Zikir, penyanyi Shiha Zikir mendedahkan pernah berdepan kerugian RM20,000 selepas restorannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur di pecah masuk.
Selain itu, Shiha atau Nurshiha Mohd. Zikir,37, turut menerima banyak maklum balas mengenai premisnya tutup daripada rakan-rakan yang menghubunginya meskipun waktu perniagaan dibuka setiap hari.

“Bulan Jun tahun lalu, kedai makan saya kena pecah masuk dan melibatkan kerugian sekitar RM20,000. Syukur Alhamdulillah, polis berjaya menangkap penjenayah tersebut.
“Selain itu, ada beberapa orang kenalan yang datang ke restoran tapi tutup. Bukan sekali dua mereka datang tapi sudah banyak kali dan tetap bertutup sedangkan kami beroperasi seperti biasa.
“Ada yang beritahu kepada saya sampai tiga hari kedai saya ‘ditutup’. Saya pun sering dapat panggilan yang bertanyakan waktu operasi kami walhal restoran saya dibuka setiap hari, jam 11 pagi hingga 10 malam.
“Saya terus hubungi pekerja sama betul atau tidak kedai makan tak buka. Tapi mereka kata restoran buka saja macam biasa,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua Nasi Ayam Shiha Zikir di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Shiha akui pada awalnya sukar mempercayai jika perkara tersebut ada kaitan dengan sihir.
Mengukuhkan lagi kejadian tersebut apabila dia kerap bermimpikan ular hitam yang banyak.
“Saya sebenarnya sebelum ini susah nak percaya dengan benda-benda mistik ni tapi sebab bukan seorang dua yang nampak kedai ditutup.
“Tapi memandangkan saya ada keluarga yang buka kedai makan juga dan pernah alami perkara sama seperti saya.
“Saya hanya perbanyakkan doa kepada Allah untuk permudahkan urusan saya dan keluarga.
“Saya ada minta ustaz kongsikan doa yang boleh diamalkan untuk lindungi diri daripada terkena gangguan,” ungkapnya.
Berhabis setengah juta untuk cawangan kedua
Mengulas lanjut pembukaan kedua restoran miliknya, Shiha mengeluarkan belanja RM500,000 bagi merealisasikan impian ntuk mengembangkan lagi empayar perniagaannya.
“Ramai nak saya buka Shiha ZIkir Nasi Ayam di tempat mereka supaya mudah untuk datang makan yang mana duduk jauh tu kan.
“Tapi untuk permulaan ini, saya buka kedai kedua di Seksyen 7, Shah Alam. Lokasi ini jadi pilihan saya sebab strategik dan berdekatan dengan pelajar. Saya keluarkan bajet RM500,000 untuk cawangan kedua ni. Kos paling mahal adalah di bahagian dapur.
“Insya-Allah, kita juga sedang berbincang untuk meletakkan harga istimewa khas untuk pelajar yang datang makan nasi ayam di restoran kami.
“Harapan saya, nak besarkan lagi perniagaan ni dan mungkin nak buka francais. Ia masih dalam perancangan, Insya-Allah,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

