SEORANG pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menyokong, memiliki video dan artikel, serta mengaku keahlian berkait dengan kumpulan pengganas, Islamic State (IS) pada hujung Mei lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Muzammil Mohd Mohlis, 35, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding, tertuduh yang memakai baju kemeja-T berkolar warna kuning cair, berdiri di dalam kandang tertuduh sekadar mengangguk faham sejurus pertuduhan-pertuduhan itu dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan pengetahuannya didakwa telah memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah.
Manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki berkenaan didakwa telah memiliki artikel-artikel dan video item berkaitan IS.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur pada jam 4.50 petang, 31 Mei.
Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin IS, Abu Hafs Al Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas tersebut.
Muhammad Muzammil didakwa melakukan kesalahan itu di satu unit kediaman sebuah pangsapuri di Jalan Cheras BT 4, Kuala Lumpur, sekitar jam 10.08 pagi pada tarikh yang sama.
Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan itu masing-masing mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (KK), perenggan 130JB(1)(a) KK, dan perenggan 130J(2)(d) KK.
Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, perenggan itu masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda, manakala pertuduhan kedua memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Setiap pertuduhan itu turut memperuntukkan agar harta-harta yang digunakan bagi kesalahan itu hendaklah dirampas, sekiranya tertuduh disabitkan bersalah.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Maryam Jamielah memohon agar mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan ini sementara pihaknnya menyerahkan laporan pakar berhubung barangan berkaitan kumpulan pengganas tersebut.
Hakim Fadzlin Suraya kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes ini merupakan kes yang tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 29 Ogos bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

