KESUMA buat laporan SPRM penemuan LKAN, PAC berkaitan HRD Corp

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penemuan melibatkan HRD Corp dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk berbuat demikian.

Menurut beliau, laporan kepada SPRM itu juga sejajar dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Steven Sim berkata, beliau telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan PAC ketika mengambil alih portfolio kementerian itu, pertengahan Disember lalu.

Sehubungan itu, beliau telah pun mengarahkan KESUMA dan HRD Corp untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN serta PAC.

“KESUMA mengambil serius laporan-laporan oleh JAN dan PAC yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

“Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, KESUMA juga telah memulakan proses rekayasa merentasi seluruh kementerian dalam tempoh enam bulan ini.

Jelasnya, proses rekayasa itu dilaksana bagi memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh kementerian itu serta agensinya.

Baca artikel lain: Kesuma bentang kertas Dasar Penubuhan Suruhanjaya GIG kepada Kabinet bulan ini

Beliau menjelaskan, matlamat rekayasa itu adlaah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.

“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD Corp telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang.

“KESUMA tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

“KESUMA tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Semalam, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya dalam LKAN 2/2024 yang diterbitkan semalam memaklumkan, kementerian tersebut perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakaturan yang dikenal pasti.

Ia termasuk salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.

Pada masa sama, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Dewan Rakyat mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.

Beliau berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh KESUMA dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Kabinet pada 26 Ogos 2015.

PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem sama berkonsepkan ‘single window’ sekali gus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.

Antara kelemahan lain dikesan PAC berkaitan pengurusan kawalan dokumen pengenalan (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID bukan dalam kalangan pegawai KESUMA dikesan.

Selain itu, terdapat 24 pengguna tidak diperakui yang meluluskan 24 permohonan majikan melalui sistem berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi...

More Articles Like This