MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu lepas.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam ketika prosiding perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Katanya, pihak pembelaan telah memfailkan representasi berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 4 Januari lepas iaitu pada Khamis lalu.
“Kami percaya pihak pendakwaan memerlukan masa lebih kurang satu bulan untuk meneliti dan mengkaji representasi tersebut.
“Ini merupakan representasi kali pertama. Oleh itu pihak kami memohon agar perbicaraan kes ini ditangguhkan. Pihak kami percaya tempoh selama sebulan adalah munasabah,” katanya.
Bagaimanapun peguam itu tidak mendedahkan butiran laporan berkenaan selain memaklumkan bahawa representasi tersebut membabitkan lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan tujuh kes pengubahan wang haram (AMLA).
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima representasi tersebut pada 5 Julai lepas.
Farah Yasmin turut tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan yang bermula pada hari ini.
“Pihak pendakwaan memerlukan sedikit masa untuk meneliti representasi yang telah dikemukakan sebelum dirujuk kepada AGC, sekurang-kurangnya sebulan,” ujar beliau.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak Hakim Suzana kemudian menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi status representasi itu.
Sekiranya reprsentasi itu ditolak, Hakim itu mengarahkan agar perbicaraan disambung pada 7 Ogos depan, selain melapangkan kesemua tarikh yang telah ditetapkan sepanjang bulan Julai.
Dalam pada itu, mahkamah memutuskan tarikh tambahan prosiding ialah pada 13 November depan, disusuli pada tahun hadapan bermula 15 Januari; 19, 20, 24, 25 Mac; 16, 17 Jun, 1 hingga 3 Julai dan 4, 6, 1, 12 dan 13 Ogos.
Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

