GANGGUAN bekalan air dilaporkan berlaku di 100 kawasan di tujuh wilayah di Selangor termasuk Kuala Lumpur.
Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hal itu berpunca akibat daripada henti tugas sementara di empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor.
Jelas Air Selangor, LRA Rantau Panjang; LRA Sungai Selangor Fasa 1; LRA Air Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Menurutnya, tujuh wilayah yang terjejas adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor.
“Air Selangor sedang berusaha untuk meminimumkan impak kepada pengguna.
“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut Air Selangor.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa dan pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini semua platform media sosial Air Selangor atau hubungi talian 15300.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

