KKM pastikan Orang Asli terus dapat perkhidmatan kesihatan berkualiti – Dr Dzulkefly

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) kan sentiasa memastikan komuniti Orang Asli mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selari dengan hasrat menjamin kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia selaras slogan Hospital Orang Asli iaitu ‘Komuniti Orang Asli Sihat, Komuniti Orang Asli Sejahtera’.

“Oleh itu, patik berdoa agar Hospital Orang Asli, Gombak (HOAG) ini, seiring dan serangkai dengan seluruh fasiliti kesihatan lain seluruh negara, menjadi fasiliti kesihatan contoh.

“Ini pasti memerlukan kerjasama semua pihak, sama ada kerajaan, swasta atau sektor ketiga, selari dengan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) yang menjadi teras Agenda Nasional Malaysia Sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke HOAG, hari ini.

Lawatan baginda adalah sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, baginda turut mendengar sembah taklimat daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Norazman Ayob.

Turut hadir, Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Baca artikel lain: Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Hospital Orang Asli Gombak

Norazman dalam taklimatnya berkata, HOAG adalah satu daripada hospital Orang Asli di dunia dan satu-satunya hospital Orang Asli yang terdapat di Malaysia.

Penubuhannya bertujuan memberikan perkhidmatan kesihatan untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu meliputi negeri Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata sepanjang tempoh dua tahun, iaitu dari 2022 hingga 2023, HOAG telah menerima kemasukan 1,434 pesakit Orang Asli di wad.

Sementara itu, pesakit yang menerima rawatan di Unit Pesakit Luar adalah seramai 12,153 orang, manakala pesakit yang menerima rawatan di Klinik Pergigian adalah seramai 3,348 orang.

Hospital Orang Asli berkenaan adalah hospital tanpa pakar dengan kapasiti 61 katil yang menyediakan perkhidmatan seperti perubatan, kesihatan awam, pergigian, dan farmasi.

Dibina sebagai ‘Rumah Sakit Orang Asli’ pada 1960 khusus untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, hospital ini telah bertukar nama kepada Hospital Orang Asli pada 1972.

Pada 2012, KKM telah mengambil alih hospital ini daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Sejak itu, hospital ini kekal sebagai pusat rujukan bertaraf nasional bagi Orang Asli seluruh Malaysia, menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bersifat komprehensif dan holistik.

Terdahulu, ketibaan baginda diiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Pada majlis itu, baginda turut mengurniakan cek sumbangan berjumlah RM30,000 yang diserahkan kepada Pengarah HOAG Dr Izandis Mohamad Sayed.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This