MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) memuji tindakan pembetulan diambil oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) berhubung isu papan tanda jalan tidak memiliki tulisan Jawi yang dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad menegaskan, orang Melayu sudah semakin peka dan sensitif terhadap warisan yang dimiliki mereka seperti apa yang berlaku di Bangi, baru-baru ini.
Justeru, beliau berharap perkara sama tidak lagi berulang pada masa hadapan dan meminta pihak berkuasa yang membawa nama kerajaan mula mengambil berat tentang isu-isu melibatkan kepentingan orang Melayu.
“Apabila saya ambil gambar (papan tanda jalan) kemudian kongsikan dengan warga Bangi, jadi ramai yang melenting dan membuat bantahan, kemudian MPKJ cepat-cepat tukar balik papan tanda.
“Jadi sekarang ini orang Melayu semakin sensitif, makin peka dengan tindakan seperti ini,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
UtusanTV pernah menghubungi pihak MPKJ berkenaan isu yang tular ini, namun sehingga hari ini tidak sebarang reaksi balas atau kenyataan akhbar dikeluarkan kepada pihak kami.
Baca artikel lain: Kebocoran gambar, maklumat di Edisi Siasat: Peguam ibu bapa Zayn Rayyan belum terima maklum balas PDRM
Terdahulu, Hasan menerusi satu artikel bertajuk ‘Jangan pinggirkan tulisan Jawi’ telah mengesan pengguguran tulisan Jawi daripada papan tanda jalan di sebuah kawasan perumahan di Bandar Baru Bangi.
Menerusi tinjauan yang dijalankan UtusanTV mendapati, rata-rata papan tanda jalan di kawasan perumahan di Bandar Baru Bangi memiliki tulisan Jawi kecuali apa yang ditularkan oleh MPM.
Susulan daripada itu, MPM mendesak agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegur Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya mengambil tindakan pembetulan berhubung isu ini.
Mengulas lanjut, Hasan menegaskan, tulisan Jawi membawa makna yang besar kepada orang Melayu kerana bahasa yang ditutur oleh masyarakat Bumiputera itu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan.
Ujarnya, semua pihak sewajarnya celik sejarah dan mula menanam sifat cintakan tulisan Jawi yang merupakan warisan tinggalan nenek moyang sejak ratusan tahun dahulu.
“Tulisan Jawi ini adalah tulisan bahasa Melayu, jadi kalau bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan makna tulisan bahasa Melayu mesti diterima masa sebagai hak milik kebangsaan.
“Tulisan bahasa Melayu ada dua, Rumi dan Jawi. Orang ingat tulisan Jawi tulisan Arab dan agama Islam, bukan. Malah Lee Kuan Yew boleh membaca dalam tulisan Jawi,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

