
PADA Sabtu ini, gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan dibuka dan ia akan disusuli dengan proses pengundian pada 13 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baru selepas wakil rakyat sebelum ini Mohd Azizi Abu Naim yang menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) hilang kelayakan untuk terus menduduki jawatan tersebut.
Pertembungan di DUN Nenggiri menarik perhatian ramai kerana ia dianggap ‘tanah majoriti Melayu’. Inilah kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PRK diadakan di Kelantan – negeri yang dikuasai oleh Pas sejak 1990.
Berbanding dua PRK sebelum ini iaitu di Kuala Kubu Bharu yang dimenangi oleh DAP dan Sungai Bakap yang terus dapat dipertahankan oleh PN melalui Pas, DUN Nenggeri turut menjadi tumpuan kerana bakal menyaksikan pertembungan antara PN yang diwakili oleh Bersatu dengan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
BN yang gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU-15 mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohamad Asmawi Fikri Abdul Ghani, 38 manakala PN pula mencalonkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41.

Kedua-dua pemimpin muda itu akan berusaha merebut kerusi DUN tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Mohd Azizi dengan majoriti 810 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Mohd Azizi mendapat 6,517 undi manakala Ab Aziz Yusof daripada BN memperoleh 5,5707.
PRK DUN Nenggiri sebenarnya cabaran besar kepada kepemimpinan UMNO bagi membuktikan orang Melayu dan ahli UMNO masih bersama dengan parti itu. Dua PRK sebelum ini iaitu di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap membuktikan UMNO gagal menarik sokongan golongan berkenaan.
Walaupun beberapa pemimpin UMNO dilihat begitu yakin akan mampu merampas kembali kerusi DUN tersebut namun hakikatnya ia bukanlah mudah disangka biarpun sebelum ini BN kalah dengan majoriti tipis. Perlu dingat ketika PRN diadakan di Kelantan, pada 12 Ogos 2023, bagaimana nasib UMNO selepas menyertai Kerajaan Perpaduan terutamanya dalam soal kerjasama dengan DAP.
Tetapi sekarang selepas hampir dua tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO dilihat ‘lebih banyak ruginya daripada untung’. Sentimen ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada UMNO khususnya dalam kalangan ahli UMNO di Nenggiri. Selain itu juga, UMNO juga berhadapan dengan cabaran untuk membuktikan kepada sahabat-sahabat baik dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP bahawa mereka mampu menarik sokongan orang Melayu. Nenggiri adalah gelanggang terbaik bagi membuktikannya.
Atas sebab itulah penulis merasakan daripada pemimpin UMNO Kelantan duduk sibuk soal calon PN adalah daripada Pas dan baru menyertai Bersatu, lebih baik mereka tumpukan perhatian untuk mencapai kemenangan di DUN berkenaan.
Lagipun apa salahnya pemilihan Mohd.Rizwadi? Bukankah ia keputusan strategik bagi membolehkan PN mempertahankan kerusi itu. Rakyatpun tidak kisah soal parti mana calon itu berasal, apa yang penting calon itu tidak kalah berkali-kali dalam pilihan raya, tidak ada isu integriti, dikenali ramai dan mempunyai latar belakang yang baik.
Pemimpin UMNO tumpulah untuk menang di Nenggiri, ‘bersimpatilah’ dengan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang awal-awal lagi turun untuk menabur janji dan ‘begitu prihatin’ menyelesaikan masalah penduduk di Nenggiri.
Melalui janji-janji yang dibuat oleh Ahmad Zahid seperti mahu mengubah wajah Nenggiri jika BN menang, membina Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Gua Musang dan membayar gratuiti lebih RM2 juta kepada 241 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan ia boleh memberi kelebihan kepada BN.
Selain itu UMNO harus menang kerana mereka membawa ‘panji-panji’ Kerajaan Perpaduan. Kekalahan di Nenggiri akan menyebabkan ia dijadikan referendum rakyat menolak kerajaan berikutan isu yang berlaku sejak kebelakangan ini. Manakala dari segi UMNO pula, ia akan memberi tamparan kepada Ahmad Zahid kerana kekalahan di Nenggiri yang dianggap kubu UMNO sekali lagi akan membuktikan parti itu semakin ditolak orang Melayu.
Bagi PN pula, sama ada menang atau tidak di Nenggiri, kedudukan kerajaan negeri tetap tidak berubah tetapi ia tidak dijadikan alasan untuk kepemimpinan itu memandang mudah pertaruhan di DUN tersebut. Keputusan memilih Mohd.Rizwadi boleh dianggap langkah bijak dan tepat untuk memastikan calon mewakili Bersatu itu mendapat sokongan padu ahli-ahli Pas.
Beliau merupakan antara empat calon yang disenaraikan bagaimanapun selepas mengambil kira pelbagai aspek, Mohd.Rizwadi dianggap calon terbaik, biarpun penyertaan beliau ke dalam Bersatu dijadikan modal oleh pemimpin UMNO Kelantan untuk merendah-rendahkan Bersatu.
Tetapi beliau mendapat sokongan padu bukan sahaja daripada kepemimpinan parti-parti dalam PN malah penulis difahamkan, rakyat Nenggiri juga mengenali beliau dan turut diterima dengan sangat baik oleh ahli-ahli Bersatu.
Apapun gelanggang PRK DUN Nenggiri hanya akan dibuka secara rasmi pada Sabtu ini selepas proses penamaan calon. Sama-sama kita tunggu apa adegan politik seterusnya termasuklah janji-janji yang akan ditaburkan dan projek-projek segera yang akan dilaksanakan, cuma jangan lupa rakyat sekarang sudah bijak menilai telatah dan sandiwara ahli politik ketika musim pilihan raya.

