KETUA Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kapten Mohamad Halim Ahmed dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas satu pertuduhan menipu mantannya berhubung pengecualian bagi syarikat perkapalan membawa minyak gred berat di perairan negara, empat tahun lalu.
Mohamad Halim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa telah memperdayakan mangsa, bekas Ketua Pengarah JLM ketika itu, Datuk Baharin Abdul Hamid, dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2020, yang menyatakan bahawa tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa minyak gred berat di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan, sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.
Kesalahan itu telah menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan terbabit yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, JLM, di Pelabuhan Klang, Klang pada 27 Oktober 2020.

Sehubungan itu, pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi menawarkan jaminan dibenarkan pada kadar antara RM50,000 sehingga RM70,000 dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon agar tertuduh untuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat tambahan jaminan.
Bagaimanapun, Peguam Farhan Read yang mewakili Mohamad Halim memohon agar jaminan dibenarkan ke atas tertuduh pada kadar RM10,000 memandangkan anak guamnya itu tiada risiko melarikan diri.
“Anak guam mempunyai isteri dan tiga orang anak yang telah besar dan menyara diri sendiri, namun beliau masih menanggung isterinya.
“Anak guam juga merupakan seorang penjawat awam selaku Ketua Pengarah Laut di JLM, justeru beliau tiada risiko melarikan diri,” hujahnya.
Sementara itu, tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa beliau merupakan pemegang pasport rasmi Kerajaan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Anita kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut mengarahkan agar tertuduh melaporkan diri di SPRM Selangor pada setiap bulan, dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

