SEBANYAK 10,423 laman sesawang telah disekat sejak 1 Januari 2022 sehingga 1 Ogos lalu susulan pelanggaran undang-undang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah dalam lima kategori utama iaitu judi dalam talian, pornografi dalam talian dan pelanggaran hak cipta dalam talian.
Selain itu, MCMC memberitahu, scam dan pelaburan haram dalam talian selain pelacuran dalam talian juga berada antara lima kategori utama.
Menurut suruhanjaya itu, judi dalam talian merekodkan jumlah laman sesawang disekat tertinggi sejak tahun 2022 iaitu sejumlah 4,484 diikuti pornografi (3,271).
“MCMC telah diberi mandat untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia bagi melindungi rakyat khususnya golongan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.
“Dalam tempoh lima tahun, jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 6,571.
“Jumlah ini menunjukkan trend penurunan sehingga bulan ini iaitu 2,127 sehingga bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Ada yang salah sangka kuasa dimiliki MCMC
Mengulas lanjut, MCMC menegaskan sekatan yang dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi-agensi penguatkuasaan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Jelasnya, sekatan itu dilakukan sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna internet.
Dalam konteks lebih besar, MCMC menjelaskan sekatan berkenaan turut mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah serta jenayah terancang lain.
Pada masa sama, MCMC juga komited untuk bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan dan perlindungan bagi memastikan sekatan itu kekal berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi.
“Ia termasuk dalam aspek pengurusan domain name system (DNS).
“Kerjasama MCMC dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
“Ini selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah AKM 1998 termasuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian.
“Usaha ini juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga khususnya remaja dan kanak-kanak,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

