SEORANG guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan bantuan awal persekolahan, pada lima tahun lepas.
Tertuduh, Azatulakmal Abd. Razak, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Mengikut kertas pertuduhan, Azatulakmal sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya didakwa secara tidak jujur telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Akuan Penerimaan atau Penolakan Pembayaran Bantuan Awal Persekolahan 2019 Peringkat Sekolah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekolah tempatnya bertugas di Seksyen 3 Petaling Jaya, pada tahun 2019.
Justeru, pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM10,000 bersama penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport ke mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran.
Azatulakmal yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu jaminan dikurangkan ekoran baru diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi.
“Saya tidak mampu buat pinjaman untuk menampung kes saya selain mejaga seorang ibu dan adik yang sakit mental,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Anita kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain bersetuju untuk membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 September depan bagi sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

