HANYA pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut berbeza dengan PAU yang lalu dengan mengutamakan keluarga besar UMNO dan tidak melibatkan parti-parti luar BN.
Jelas beliau, keputusan untuk tidak menjemput pimpinan parti politik Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah dipersetujui di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Kita sudah bincang di peringkat majlis kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk PAU tahun kedua ini, kita buat secara keluarga UMNO terlebih dahulu, tahun pertama (tahun lalu) kita buat jemputan dan Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum pilihanraya biasanya.
“Dalam hal (PAU kali) ini kita mahu memberikan ruang seluasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan, tidak ada pemimpin utama parti yang akan datang kali ini.
“Ini macam ada kesepakatan bersamalah sebab PKR pun dia sudah selesai, tapi komponen BN seperti biasalah (akan dijemput),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, fokus PAU kali ini banyak bertumpu mengupas isu-isu rakyat, selain usaha dan pencapaian UMNO dalam membawa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), halal dan tahfiz dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, mesyuarat UMNO bahagian yang selesai bersidang minggu lalu juga lebih banyak membangkitkan usul berkepentingan rakyat berbanding isu politik termasuk menyentuh kerjasama UMNO dengan PH.
“Saya kira agenda PAU kali ini banyak bersifat untuk memfokuskan kepada soal rakyat. Ini satu perkembangan bagus. UMNO tidak sangat membicarakan soal dalaman dan retorika politik UMNO.
“Program membantu rakyat, soal Dasar Tahfiz Negara, isu halal dan TVET dan kos sara hidup rakyat. Ini banyak diberi tumpuan dan dibangkitkan perwakilan,” katanya.
Mengulas mengenai usul supaya dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang, Asyraf berkata, hanya satu bahagian mengemuka usul sedemikian.
“Kita punya pemilihan lambat lagi. Selagi bukan tahun pemilihan, dia tidak banyak timbulkan (dalam mesyuarat bahagian). Hanya satu bahagian saja (kemuka usul itu). Tradisi dalam UMNO, kalau bukan ‘mood’ pemilihan, ia bukan jadi isu (keutamaan) besar,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

