OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
PEMIMPIN ini sudah lama dikutuk, dikeji, dihina dan dimalukan hinggakan seolah-olah sudah tidak ada lagi harga diri yang tertinggal.
Apa yang beliau buat baik terus dikritik, dipersoalkan dan ada sahaja alasan untuk menidakkan usaha baiknya itu.
Rasanya semua sudah tahu, siapakah pemimpin yang saya maksudkan itu. Itulah dia Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus berusaha untuk memulih dan membangunkan negara ini.
Namun segala usaha yang dilakukan tidak pernah dihargai oleh beberapa pihak yang kononnya cuba menjadi wira sebenar.
Baru baru ini, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Dan jika kita lihat dari segi keadaan ekonomi yang nampaknya masih belum meyakinkan beberapa pihak khasnya pihak pembangkang maka pengumuman ini merupakan sesuatu yang positif dan seharusnya dipuji.
Itupun dengan serta merta, ada pihak yang mengungkit dan berasa tidak puas hati. Dikatakan kenaikan tertinggi gaji penjawat awam masih kekal dipegang oleh pentadbiran Tun Abdullah Badawi yang pernah melakukan pelarasan sehingga 35 peratus pada tahun 2007, iaitu kira kira 17 tahun yang lalu, yang turut sama menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku di Malaysia, baik dari segi ekonomi mahupun politik.
Dalam aspek politik dan ekonomi, masa 17 tahun adalah satu jangka masa yang lama.
Perkara ini sebenarnya pernah dijelaskan oleh beberapa pihak yang menyatakan kenaikan 35 peratus itu merujuk kepada golongan penjawat awam dan kumpulan 11 Gred 1 dan beberapa gred atas.
Baca artikel lain: PM Anwar harap sektor swasta teliti semula skim gaji agar lebih munasabah
Pada waktu itu bagi gred 1, pendapatan mereka ialah RM800 sebulan. Perlu diingatkan juga bahawa keadaan ekonomi waktu itu dan sekarang pastinya berbeza.
Kalau ya pun, nak buat perbandingan, perlulah berlaku adil kerana konteksnya cukup berbeza. Bagi kumpulan tertinggi pula dalam perkhidmatan awam, kenaikan gaji ialah 7.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding tahun ini.
Selain itu, sebagaimana biasa, ada juga pihak pembangkang yang turut sama mengecam usaha Perdana Menteri untuk sama menaikkan gaji dan dengan menggunakan alasan yang sama, mendakwa apa yang dilakukan oleh Anwar tidak boleh menandingi zaman Abdullah. Dan jika saya tak silap, mereka pernah membuat sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini.
Tidak ada siapa pun yang menafikan jasa baik Abdullah yang turut membantu penjawat awam dengan kenaikan gaji tersebut. Dan semua orang tahu tentang hal itu.
Itu sebabnya usaha Perdana Menteri melakukan perkara yang sama, perlu dipuji dan dihargai. Sekurang-kurangnya Anwar ‘walk the talk’ dan cuba untuk terus membantu memulihkan semula ekonomi negara.
Saya ingin bertanya sesuatu yang pelik kepada golongan yang sering membangkang usaha yang dilakukan oleh kerajaan Madani ini. Mengapa semasa mereka menjadi kerajaan, golongan ini tidak membincangkan pun tentang apa-apa kenaikan gaji, bahkan mengambil jalan mudah dengan mengosongkan kantung KWSP dan menggelar diri mereka sebagai hero yang menyelamatkan negara?
Bahkan ketika itu, tidak pernah ada ura-ura langsung yang penjawat awam akan dinaikkan gaji. Semasa itu, mereka mungkin lebih memikirkan bagaimana hendak mengekalkan kuasa hingga sanggup “menutup” Parlimen.
Dan seperti biasa, saya yakin, Anwar akan terus dikutuk, dikeji, dihina dan dimalukan, oleh pelbagai pihak yang tidak puas hati dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakukan oleh beliau.
Bagi Anwar, segala kejian dan kutukan ini hanyalah satu pengorbanan kecil yang dilakukan demi menyelamatkan negara kita daripada terus disakau oleh puak–puak tertentu.
Penulis adalah penganalisis politik
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

