“UCAPAN saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta.”
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan ketika ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini yang mencetuskan kontroversi.
Ia susulan ucapannya itu yang didakwa secara sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan ucapan itu tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“(Ucapan) tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Tengku Hassanal murka, mahu PDRM ambil tindakan ke atas Muhyiddin
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas tindakan Muhyiddin yang secara sinis memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda bertitah, kenyataan bekas Perdana Menteri itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri.
Titahnya, tindakan Muhyiddin juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan tak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Justeru, Tengku Hassanal mahu pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook, juga menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

