TIADA keperluan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membubarkan parti itu dan menyertai UMNO seperti yang dicadangkan oleh Veteran UMNO.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti pimpinannya bukanlah bekas UMNO dan tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian.
“Kenapa minta bubarkan Bersatu, kita (Bersatu) bukan ex-UMNO malah Bersatu mempunyai kerusi Parlimen paling banyak berbanding UMNO. Tidak kurang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Bersatu juga sudah membentuk Perikatan Nasional (PN), begitu juga negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah PN, kenapa perlu bubar?
“PN pula wujud sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah dari segi undang-undang dan kita tiada masalah dalam hal berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Penyelaras Perikatan Nasional (PN) DUN Jeram Padang hari ini.
Baca artikel lain: PRU2025 Singapura: 48 peratus mengundi setakat 12 tengah hari
Yang turut hadir, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, Ketua Armada Muhammad Hilman Idham dan Penyelaras DUN Jeram Padang R Sri Sanjeevan.
Muhyiddin berkata, Bersatu juga berdiri dengan prinsip asas perjuangan untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
Katanya, biarpun ada yang mendakwa dahulu Bersatu juga bekerjasama dengan DAP, tapi ia tidak lama kerana Bersatu mengambil keputusan untuk tinggalkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Soalan saya pula, kenapa UMNO saja tidak dibubarkan dan masuk Bersatu,” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan begitu sahaja disebabkan ia perlu dibincang dalam biro politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan PN.
“Ada beberapa isu rumit yang perlu dibincang dan ia tidak semudah itu untuk dijadikan kenyataan walaupun secara prinsipnya Bersatu bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi perjuangan yang sama,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

