KERAJAAN Madani menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju dengan cadangan untuk meminda dua Akta Pemegang Amanah.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, dua akta berkenaan adalah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pindaan-pindaan itu untuk mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.
Jelas kenyataan berkenaan, pindaan Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.
Manakala, jelas Pejabat Perdana Menteri, pindaan Akta 258 antaranya melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.
“Pindaan yang dipersetujui dalam Mesyuarat JKKTN ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah.
“Ini khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam, di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan Kerajaan serta penyalahgunaan dana awam, terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada Kerajaan.
“Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS), dan akan diberi keutamaan dalam perolehan Kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.
Jelas kenyataan itu, Inisiatif berkenaan juga menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
“Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.
“Setiap usaha yang diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

