Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz semasa mesyuarat bersama syarikat minyak negara itu dengan kerajaan negeri Sarawak di Kuching, hari ini. GAMBAR: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan bersama oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Petronas dan Petros.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat antara ketiga-tiga pihak itu dipengerusikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Datuk Janin Girie dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga pihak turut mengesahkan bahawa perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak kini sedang berjalan antara mereka dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Baca artikel lain: Petronas laksana operasi secara sah di perairan Sarawak

“Disahkan bahawa Petronas tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak dan Petros.

“Semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan negeri berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, timbul isu kononnya Petronas berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Petros dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Namun begitu, Abang Johari memaklumkan Petros masih dalam proses perbincangan dengan Petronas berkaitan penyeliaan perdagangan minyak dan gas (O&G) di negeri itu.

Beliau turut menegaskan bahawa tempoh akhir bagi perbincangan kedua belah pihak itu masih kekal sebelum 1 Oktober.

Abang Johari juga menegaskan bahawa “tiada sebarang isu antara kami dengan Petronas.”

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram