PELAKON Fattah Amin memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini bahawa dirinya belum bersedia dan tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya, Fazura.
Peguam Syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Fattah memaklumkan bahawa anak
guamnya menyatakan perkara itu ketika ditanya oleh Hakim Syarie Abdul Malik Soleh pada prosiding sebutan permohonan cerai yang difailkan Fazura ke atasnya.
Katanya, anak guamnya itu masih sedang mencuba untuk memuktamadkan terma-terma secara baik termasuk isu-isu yang berbangkit semasa perkahwinan.
“Terma-terma itu adalah termasuk isu-isu yang berkait semasa perkahwinan. Perkara itu perlu agar pihak-pihak dapat menyelesaikan isu secara baik selepas ini tanpa perlu memanjangkan perkara yang belum selesai sekiranya berlaku penceraian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding sebutan itu selesai, pagi ini.

Sementara itu, Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, mengesahkan bahawa pihak Fattah selaku defendan telah membuat cadangan-cadangan penyelesaian secara baik.
Justeru, mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan kedua pada 7 Oktober depan bagi status terhadap cadangan-cadangan oleh pelakon filem ‘Pendekar Awang’ itu.
“Kita akan cuba untuk menyelesaikan dengan baik tanpa menerusi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP). Pada 7 Oktober nanti, kalau ada penyelesaian, kita akan teruskan apa yang patut,” ujar Fakhrul Azman.
Dalam pada itu, Fakhrul turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengambil tindakan yang keras menerusi pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan saman sivil terhadap individu-individu yang membuat kenyataan fitnah ke atas anak guamnya itu berhubung situasi rumah tangganya.
“Kami nak beri peringatan bahawa kami telah mengenal pasti pihak-pihak yang membuat kenyataan (fitnah) itu dan tindakan yang sepatutnya akan diambil.
“Kita akan mengambil tindakan keras dan tak akan biarkan isu ini dibangkitkan kerana perkara ini telah lama,” katanya lagi.

Sebelum ini Fazura dilaporkan memfailkan permohonan cerai ke atas Fattah pada 13 September lalu.
Bagaimanapun butiran terperinci berhubung perhomonan itu tidak didedahkan.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura, 41, dan Fattah, 33, hangat diperkatakan di media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Sementara itu, pada 14 September lepas, Fattah menepis dakwaan dan spekulasi bahawa dia telah curang sehingga menyebabkan isterinya itu memfailkan cerai terhadapnya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

