PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai US$2 bilion (US$1 = RM4.12) di Malaysia yang diadakan pada acara “Mantap Malaysia Bersama AI” yang julung kali diadakan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.
Pelaburan Google dijangka dapat menjana impak ekonomi bernilai lebih AS$3.2 bilion selain mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata komitmen syarikat itu terhadap usaha kemajuan digital Malaysia dapat dilihat menerusi pusat data dan wilayah awan berkenaan di Selangor.
“Pelaburan Google dalam aspek infrastruktur, kemahiran digital dan kemampanan memaparkan kemajuan dalam usaha bersama kami dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada komuniti serta syarikat tempatan,” katanya pada majlis berkenaan.

Baca artikel lain: Kerajaan sasar jadikan Malaysia hab penjanaan kecerdasan buatan – PM
Pada masa sama, Porat menekankan bahawa Google akan menyokong inovasi dan pertumbuhan di Malaysia selain membolehkan individu dan perniagaan memaksimumkan potensi era digital.
“Dalam usaha ini, Google akan meneruskan pemantauan sumber asli yang bertanggungjawab dengan meningkatkan ekosistem kawasan tadahan air komuniti di Malaysia selain membantu memacu penggunaan sumber tenaga boleh baharu tempatan,” katanya.
Majlis pada hari ini adalah susulan kepada pengumuman Google Cloud pada 2022 bagi mewujudkan rantau awan tempatan untuk kemudahan organisasi sektor awam, perniagaan kecil hingga sederhana, syarikat pemula niaga serta perusahaan besar dengan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran, AI dan pembelajaran mesin yang lebih pantas dan mudah diakses.
Wilayah awan itu akan menawarkan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah yang membolehkan pelanggan menikmati aspek keselamatan data yang maksimum dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data yang khusus.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

