KERAJAAN Negeri Pahang bersetuju menaikkan insentif atlet Para negeri itu yang berjaya memperoleh pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu, pemberian insentif itu sama seperti yang diberikan kepada atlet Sukma sebelum ini.
Lebih membanggakan, beliau berkata, kontinjen Para Sukma Pahang telah berjaya melepasi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet Para Sukma Pahang yang telah menyertai Para Sukma XXI Sarawak 2024 pada 22 hingga 28 September lalu.
“Semoga kejayaan yang diraih oleh atlet Para menjadi inspirasi kepada semua pihak hasil daripada ketekunan dan semangat juang yang luar biasa.
“Teruskan usaha ini dan jadikan pengalaman di Sarawak sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih besar terutamanya dalam menghadapi Para Sukma XXII di Selangor pada tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Anwar puji prestasi, semangat perpaduan atlet pada SUKMA 2024
Selain itu, Wan Rosdy berkata insentif sebanyak RM3,000 akan turut diberikan kepada atlet yang berjaya merangkul pingat perak dan RM2,000 bagi gangsa.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal dan ketua kontinjen atlet para merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Khairulnizam Mohd Zuldin atas pencapaian yang membanggakan itu.
Secara keseluruhan, atlet Para SUKMA Pahang berjaya memperoleh 29 pingat meliputi 15 emas, lima perak dan sembilan gangsa serta menduduki tangga ketujuh pada temasya yang berlangsung 22 hingga 28 Sept lepas.
Sebelum ini, Kerajaan Pahang memberikan sebanyak RM570,000 insentif kepada kontinjen SUKMA Pahang yang membawa pulang 23 pingat emas, 21 perak dan 32 gangsa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

